Tengku Temenggong Kelantan dapat perintah ingkar terhadap Manohara

Diterbitkan: Khamis, 5 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis membenarkan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra, memperoleh perintah ingkar terhadap isterinya Manohara Odelia Pinot dan ibu mentuanya Daisy Fajarina, berhubung saman malu RM105 juta terhadap dua beranak dari Indonesia itu.

Penolong Kanan Pendaftar, Shazali Hidayat Shariff, membuat keputusan itu dalam kamar setelah Manohara, yang merupakan seorang model, dan ibunya, gagal melantik peguam untuk menjawab saman berkenaan.

Perintah ingkar adalah satu keputusan yang mengikat yang berpihak kepada plaintif jika defendan gagal mengambil apa-apa tindakan terhadap saman atau tidak hadir di mahkamah.

Pada 20 Oktober lepas, Shazali memberi masa sehingga Khamis kepada Manohara dan Daisy untuk melantik peguam baru setelah peguam sebelumnya menarik diri, dan jika gagal berbuat demikian, satu perintah ingkar akan dikeluarkan.

Peguam Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry, memberitahu pemberita bahawa amaun ganti rugi akan ditetapkan oleh mahkamah kemudian.

Mohd Haaziq berkata jumlah wang bukanlah persoalan utama tetapi yang penting bagi anak guamnya adalah membersihkan nama terhadap tohmahan yang dilemparkan kepadanya oleh Manohara dan Daisy.

"Manohara dan ibunya patut datang untuk menjawab semua tohmahan yang dilemparkan terhadap Tengku Muhammad Fakhry, tetapi sehingga hari ini mereka tidak dapat memberikan bukti bagi membela tohmahan itu," katanya.

Pada 12 Oktober lepas, syarikat guaman Fakrul Hisham Abdullah & Associates mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk menarik diri daripada mewakili Manohara dan Daisy.

Pada 20 Julai, Tengku Muhammad Fakhry mengemukakan saman itu terhadap isteri dan ibu mentuanya dengan mendakwa yang mereka secara jahat memalukannya menerusi sidang akhbar pada April dan Jun dengan membuat tuduhan kononnya Manohara telah didera.

Anakanda Sultan Kelantan itu mengemukakan dua saman lain di Mahkamah Syariah iaitu satu agar Manohara diperintah pulang kepadanya, dan kedua, menuntut kembali wang RM1 juta yang didakwanya dipinjam oleh Manohara.

Sekarang, Manohara dan Daisy tidak menjawab tuntutan Tengku Muhammad Fakhry itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan