Pemberian tauliah oleh jabatan agama, undang-undang lapuk & perlu dihapuskan - MP Kulim-Bandar Baru

Diterbitkan: Khamis, 5 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin berpendapat, soal keperluan mendapatkan tauliah oleh mana-mana pendakwah Islam di negara ini adalah satu peraturan lapuk dan perlu dihapuskan oleh pihak yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal agama di negeri-negeri.

Sebaliknya kata beliau, perkara yang hanya perlu diawasi oleh pihak jabatan adalah kepada mereka yang mengajar atau menyampaikan ajaran sesat.

Katanya, isu mantan Mufti Perlis yang ditahan kononnya menyampaikan ceramah tanpa tauliah telah membuka mata dan minda umum khususnya umat Islam di Malaysia tentang isu pemberian tauliah untuk mengajar, menyebar, menyampaikan dakwah Islam.

“Sebenarnya syarat untuk mendapat tauliah oleh mana-mana pendakwah Islam sebelum dibenarkan menyampaikan risalah Islam ini adalah satu cara penjajah menyekat kebangkitan umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia.

“Akibatnya, tindakan JAIS baru-baru ini sangatlah memalukan Islam sendiri. Mereka menghina dunia Islam, mereka membantutkan perkembangan ilmu Islam. Yang paling malang, mereka membuktikan kepada dunia betapa jumudnya pemikiran segelintir mereka yang diberi kuasa untuk "menjaga Islam".

“Saya berpendapat bahawa keperluan kepada tauliah untuk menyampaikan Islam dan berdakwah hendaklah dimansuhkan. Pada saya ia lebih memudaratkan Islam daripada membawa kebaikan. Pada saya, dakwah dan penyebaran serta pengembangan Islam dan ilmu perlu dibenarkan tanpa sekatan, sama ada di masjid dan surau, mahupun di mimbar Jumaat.

“Hanya jika penyampaian dan ajaran yang dibawa adalah bercanggah dengan Islam ataupun sesat barulah kita ambil tindakan,” kata Zulkifli dalam laman blognya.

Apa pun, katanya, yang pentingnya setelah lebih 50 tahun merdeka, mengapa umat Islam di Malaysia masih terikat dengan belengu penjajah.

Sudah tiba masanya kata beliau, warisan-warisan penjajah saperti isu tauliah ini dihapuskan, dan dibina semula umat yang lemah dan lesu ini diatas dasar Islam yang menurut Al Quran dan sunnah yang sebenarnya.

Beliau berhujah, semasa penjajahan Barat, kebanyakan ulama, pendakwah dan pejuang Islam telah menggunakan medan dakwah di surau, masjid, dan lain-lain tempat untuk membangkitkan semangat umat Islam menentang penjajah berdasarkan 'ilmu dan kekuatan jihad berpaksikan akidah.

Penjajah katanya, telah mencipta pelbagai sekatan untuk menghalang pejuang-pejuang kemerdekaan daripada menggunakan premis seperti surau dan masjid sebagai medan menyampaikan dakwah serta meniup semangat kemerdekaan. Di Selangor, penjajah mencipta satu undang-undang dipanggil Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor No. 3 1952.

Dalam enakmen ini, penjajah menukar habis hukum syarak dan perundangan Islam. Dan bagi menyekat pengembangan Islam, maka disekat para ulamak, guru agama, para da'ie dan pendakwah serta aktivis dan pejuang Islam daripada menyebarkan Islam dengan membuat peruntukkan di Seksyen 166 Enakmen tersebut iaitu:

"Siapa-siapa melainkan dirumahnya dan dihadapan ahli rumahnya sahaja, mengajar dan menerang lain-lain pengajaran mana-mana ilmu agama Islam dengan tiada mendapat kebenaran yang bertulis dari Kadi hendaklah disiksa dengan penjara lamanya tiada lebih daripada 3 bulan atau denda tiada lebih daripada 6 bulan atau denda".

Berdasarkan peruntukkan ini, kata Zulkifli ramai ulamak, guru, pendakwah, para da'ie dan aktivitis serta pejuang Islam yang disekat daripada menyampaikan risalah Islam. Ada yang ditangkap dan dihukum, dan akhirnya masjid menjadi lesu dan hilang rohnya.

Katanya lagi, inilah sistem perundangan yang terus menerus diwarisi oleh orang Melayu walaupun sesudah merdeka.

“Di zaman siber tanpa sempadan, saya hairan JAIS dan yang sewaktu dengannya masih lagi terbelengu dengan warisan penjajah ini. Apakah JAIS akan bertindak terhadap guru agama yang mengajar Quran dan muqaddam di rumah-rumah dengan pensyarah, guru yang mengajar mata pelajaran Islam di sekolah-sekolah?.

“Bagaimana pula dengan program Ehwal Perdana Islam di kaca TV, ramai panelisnya adalah golongan yang tidak diberikan tauliah. Bagaimana dengan mereka yang menyampaikan Islam di dada akhbar, majalah dan lain-lain. Bagaimana dengan blog, ruang siber dan lain-lain.

Apakah masjid atau surau tidak boleh memanggil penceramah dari disiplin lain untuk memberi ceramah dan kuliah. Contohnya memanggil doktor pakar untuk memberi penerangan tentang perubatan. Ataupun memanggil seorang pegawai Amanah Raya untuk memberi penjelasan tentang hal wasiat dan pusaka.

“Bagaimana kalau pihak masjid memanggil seorang pakar perbankan untuk memperjelaskan tentang skim kewangan Islam. Apakah mereka semua ini tidak layak memberikan ceramah dan kuliah kepada jemaah Muslim, sedangkan Islam itu satu agama kehidupan, dan soal perubatan, kewangan, guaman dan lain-lain juga adalah perkara yang menyentuh tentang kehidupan harian umat Islam,” tanya beliau.

Dan katanya lagi, secara logik cuba bayangkan di Malaysia ada 14 negeri, bermakna seseorang pendakwah perlu mendapat 14 tauliah! Bayangkan Mufti Negeri Perak tidak diberi tauliah menyampaikan ceramah/ khutbah di negeri Johor.

“Bayangkan bekas Mufti Selangor Almarhum Dato' Ishak Baharom sendiri dihalang menyampaikan ceramah dan kuliah dalam negeri Selangor setelah dilucutkan jawatan Mufti. Bayangkan Dato' Ismail Kamus, dahulu dia yang menandatangani sijil tauliah, hari ini dia sendiri tidak diberi tauliah.

“Bayangkan ulamak sebesar Datuk Dr Haron Din langsung tidak diberi tauliah untuk mengajar di surau atau masjid. Adakah wajar ulama seperti Dr Abdullah Yassin, yang diiktiraf oleh dunia Islam sebagai seorang ulamak mufassirin tetapi ditangkap ketika sedang mengupas surah Al Baqarah hanya kerana tiada tauliah!,” tanya ahli parlimen itu lagi.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan