Kumpulan & gerakan Islam perlu belajar menghormati hak untuk berbeza pendapat kata Profesional Muslim

Diterbitkan: Khamis, 5 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kumpulan dan gerakan Islam di negara ini perlu belajar menghormati hak untuk berbeza pendapat dan menjunjung tinggi kebebasan bersuara, serta berhujah dengan kebijaksanaan dan bukan dengan serangan peribadi.

Muslim Professionals Forum (MPF) dan Islamic Renaissance Front (IRF) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini hari ini menegaskan bahawa menghormati hak untuk berbeza pendapat dan menjunjung kebebasan bersuara adalah cara yang dianjurkan agama dalam menangani isu-isu yang dihadapi oleh umat Islam.

Mereka turut menegaskan peristiwa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangkap bekas mufti Perlis 1 November lalu hanya menzahirkan hakikat bahawa institusi itu tidak bersedia dan berkemampuan untuk berhujah dengan pengkritiknya di pentas intelektual dan terpaksa beralih kepada penggunaaan kuasa kekerasan.

Sebaliknya kedua-dua badan yang dianggotai profesional Islam itu meminta JAIS supaya menjadi pelindung agama dalam erti kata yang sebenarnya bukan dengan mengamalkan tindakan yang boleh dilihat sebagai satu percubaan untuk menghalang kebebasan intelektual di Malaysia berkaitan dengan agama Islam.

“JAIS perlu bersikap jujur dalam melaksanakan tanggungjawab yang dilaungkan sebagai pelindung agama. Jika tidak, JAIS hanya akan menjadi sebahagian daripada senarai panjang institusi rasmi yang perlu diubah sepenuhnya supaya Islam boleh kembali memiliki statusnya yang sebenar sebagai agama yang bersandarkan ilmu dan akal.

“Tangkapan mantan Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin oleh pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Selangor semasa beliau berada di dalam majlis yang tertutup di sebuah kawasan perumahan pada 1 November telah menimbulkan persoalan tentang sejauh manakah kebebasan intelektual di Malaysia berkaitan dengan agama Islam.

“Ini kerana alasan yang dikemukakan oleh JAIS bahawa Dr. Asri tidak memiliki tauliah daripada JAIS untuk mengajar agama memperlihatkan percanggahan daripada prinsip kebebasan intelektual yang tercatat di dalam sejarah Islam.

"Dalam masa yang sama, ia juga menjadi senjata dan bahan bagi pengkritik JAIS selama ini untuk berhujah bahawa JAIS tidak lebih daripada hanya perkakas dan alat segelintir tokoh-tokoh agama yang berkehendak untuk memaksa orang lain agar mengikut pandangan dan pendapat mereka semata-mata,” tegas kenyataan tersebut.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua gerakan intelektual Islam itu ditandatangani oleh Dr Ahmad Farouk Musa, Dr Sheik Johari Bux, Manan Razali, Dr Mazeni Alwi, Dr Musa Nordin, Dr Jeffrey Hassan dan Ali Ghazali bagi pihak ahli-ahlinya.

Mereka turut kesal terhadap sesetengah pihak yang terlalu mudah melabel dan menggelarkan para cendekiawan Islam yang tidak sehaluan sebagai 'merbahaya' kepada masyarakat.

Sebaliknya, kenyataan itu menyebut, jika ditinjau kembali sejarah silam, faktor utama dunia Islam berkembang dengan pesatnya di zaman dahulu adalah kerana sifatnya yang tegas membela “kebebasan bersuara”.

Kedua-dua gerakan intelektual itu juga berhujah, setiap manusia mempunyai hak yang telah dijamin oleh Al-Qur’an untuk secara sukarela menuruti dan menzahirkan keyakinannya tanpa mengira sama ada dia benar ataupun salah.

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan