Keputusan PAC buktikan ketelusan kerajaan tangani isu PKFZ

Diterbitkan: Khamis, 5 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berpendapat hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung kelemahan dan kesalahan berkaitan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membuktikan ketelusan kerajaan menangani isu berkenaan.

"Ini bukan untuk saya perkatakan saya gembira atau tidak saya gembira melihat bahawa jika jika bercakap mengenai ketelusan, apabila kita bercakap mengenai akauntabiliti, inilah, kerajaan sedang lakukan, itu yang penting," katanya kepada pemberita selepas melawat Stesen LRT Bangsar di sini hari ini.

PAC dalam laporannya mengenai PKFZ semalam mengesyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy dan bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datin Paduka O.C. Phang membabitkan isu pecah amanah.

Menurut laporan itu, keduadua mereka harus disiasat berhubung tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Chan dan tiga surat aku janji yang dikeluarkan Phang tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.

Ditanya sama ada beliau menyokong saranan PAC supaya siasatan dijalankan ke atas dua individu berkenaan, Ong berkata: "Ini bukan isu sama ada saya suka ataupun saya sokong, tapi anda boleh lihat berdasarkan tindakan saya, anda patut tahu di mana kedudukan komitmen saya."

PAC menjalankan siasatan terhadap pelaksanaan projek PKFZ selepas kos projek itu dilaporkan meningkat daripada RM1.957 bilion kepada RM4.947 bilion.

Jawatankuasa itu telah bersidang mulai 11 Jun lepas hingga 3 Sept lalu bagi menemuramah saksisaksi yang berkenaan termasuk Ong dan dua bekas menteri yang memegang portfolio berkenaan iaitu Tun Dr Ling Liong Sik dan Chan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan