Kemelut PAS: Muktamar khas penyelesaian terakhir

Diterbitkan: Khamis, 5 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbualan dengan beberapa pemimpin Pas mengenai kemelut kepimpinan dalam parti membayangkan isu itu jauh daripada penyelesaian.

Ada yang berpendapat masalah itu tidak berbangkit lagi kerana ia telah diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti, namun bagi pihak lain, seminar politik yang dijadual Sabtu ini adalah platform terbaik untuk membincangkannya.

Ada juga yang berpendapat muktamar khas adalah jalan penyelesaian jika kemelut itu tidak dapat ditangani menerusi jawatankuasa disiplin dan seminar sehari itu.

Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang juga anggota biro politik parti itu, berkata opsyen mengadakan muktamar khas terbuka kepada anggota parti untuk dipertimbang kerana perkara itu dibenarkan perlembagaan parti.

"Memang ia (muktamar khas) satu perkara luar biasa tapi sekiranya itulah cara penyelesaian, atau penyelesaian tak tercapai menerusi seminar dan jawatankuasa disiplin, saya rasa opsyen EGM akan sentiasa terbuka untuk ahli-ahli parti," katanya kepada Bernama di sini.

Ironinya naib presiden parti Salahuddin Ayub pula menjelaskan seminar pada Sabtu ini diadakan sebagai ganti muktamar khas dan bukanlah untuk membincangkan kemelut kepimpinan tetapi bertujuan mendapatkan pandangan anggota dan juga dua pemerhati politik yang diundang khas, tentang langkah-langkah yang harus diambil bagi mengukuhkan peranan Pas dalam pakatan pembangkang.

"Ini (isu kemelut kepimpinan) tak berbangkit, kira dah selesai. Soal (Pesuruhjaya Pas Selangor) (Datuk) Dr Hassan Ali kita dah serah kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk disiasat," katanya.

Dua pemerhati politik yang diundang memberi pandangan pada seminar politik itu ialah Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Prof Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya.

Perkara itu turut dipersetujui seorang lagi naib presiden parti Datuk Mahfuz Omar yang berkata isu kepimpinan telah diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti.

Namun Mahfuz cuba mengelak apabila ditanya mengenai beberapa pemimpin lain yang juga disifatkan "bermasalah" oleh seorang pemerhati politik tetapi tidak dirujuk kepada jawatankuasa disiplin.

"You mana tahu? You jawatankuasa disiplin?" kata Mahfuz.

Berasaskan keputusan mesyuarat khas jawatankuasa pusat parti yang turut dihadiri Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 28 Okt lepas, jawatankuasa disiplin diarah menyiasat kepimpinan Pas Selangor berhubung dakwaan membuat keputusan bertentangan dengan prinsip kerjasama pakatan pembangkang.

Bagaimanapun beberapa nama lain seperti Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali yang turut disebut oleh Abdul Aziz Bari sebagai "bermasalah" sehingga mendorong Nik Abdul Aziz menyarankan diadakan muktamar khas, tidak terlibat dalam siasatan itu.

Tumpuan sebaliknya diberi kepada Pesuruhjaya Pas Selangor dan beberapa pemimpin lain di negeri itu yang dikatakan menimbulkan masalah kepada pakatan pembangkang.

"Menurut Prof Abdul Aziz dalam analisisnya itu Selangor adalah bermasalah. Beliau kata orang ini (Nasharudin, Mustafa dan Abdul Hadi) lindungi Hassan kerana bersetuju (dengan pandangan Hassan tentang beberapa isu termasuk larangan menjual alkohol).

"Sekiranya tindakan diambil (oleh jawatankuasa disiplin) maka terbukti tidak ada perlindungan, maka tidak ada sebab untuk manamana pihak menuduh (demikian)," kata Khalid pula.

Kerajaan pakatan pembangkang di Selangor yang terhasil daripada kerjasama Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat dilihat seringkali bergoncang berikutan tindakan Hassan yang membuat keputusan bertentangan dengan prinsip kerjasama mereka.

Antara keputusan yang diambil oleh Hassan dan dianggap oleh pemerhati politik telah mengurangkan sokongan bukan Islam terhadap parti itu ialah saranan pengharaman penjualan alkohol di kawasan majoriti Melayu di Selangor.

Hassan juga dikecam kerana mengkritik secara terbuka kaedah penyiasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) yang diwujudkan pakatan pembangkang di Selangor.

Hassan dan beberapa pemimpin Pas lain di Selangor mungkin berdepan dengan tindakan disiplin namun bagaimana pula dengan nasib segelintir lagi yang sedari awal telah kurang disenangi oleh Nik Abdul Aziz?

Rata-rata pemerhati politik bersetuju Pas tidak akan berpecah sekalipun bergolak hebat dan masing-masing juga melihat kemelut sekarang sebagai "cubaan menunjuk taring" antara Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi.

Namun pemerhatian mereka adalah berasaskan sejarah dan berasaskan generasi pemimpin berbeza, sedang parti itu kini jelas terbahagi kepada dua iaitu kelompok ulama konservatif dan golongan ulama profesional yang lebih liberal.

Justeru, mampukah kekuatan Pas bertahan sehingga pemilihan parti akan datang atau akan tercipta sejarah baru yang memaksa parti mengadakan muktamar khas.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan