Korea Selatan berminat jual kereta perisai kepada M'sia

Diterbitkan: Rabu, 4 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Korea Selatan berminat untuk menjual kenderaan tempur perisai generasi baru NIFV K21 dan BlackFox kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Syarikat pengeluar Doosan DST kini sedang menjalankan usaha untuk menyakinkan kerajaan Malaysia bahawa kedua-dua jenis kenderaan perisai itu sesuai untuk kegunaan pasukan keselamatan negara.

Pengarah Pemasarannya, Kolonel (B) DaeSup Hwang berkata, pembelian kereta perisai itu akan melengkapkan 70 buah kereta kebal jenis PT91 buatan Poland yang kini digunakan oleh ATM.

"Kenderaan K21 direka untuk kegunaan pada persekitaran medan tempur di abad ke-21. Ia mempunyai banyak ciri canggih termasuk generasi ketiga sistem menangkis peluru berpandu," katanya dalam temubual selepas Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melawat gerainya pada Pameran Pertahanan dan Keselamatan 2009 di sini hari ini.

Katanya, syarikat Doosan DST mempunyai pengalaman dalam membekalkan kenderaan berperisai untuk operasi pasukan pengaman Malaysia di luar negara.

Menurut beliau lagi, syarikatnya telah menjual 111 unit kenderaan tempur perisai KIFV (Korean Infantry Fighting Vehicles) kepada Malaysia antara 1993 dan 1995.

Malah presiden dan ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Hang Seok Um, baru sahaja pulang dari lawatan ke Malaysia di mana dia menemui beberapa pegawai tertinggi ATM.

Lebih 158 pengeluar peralatan pertahanan dan keselamatan termasuk Sapura Secured Technologies, SME Ordnance Sdn Bhd dan Asian Defence Journal, menyertai pameran tersebut.

Naib Presiden Eksekutif Sapura, Wan Shaharuddin Wan Mahmood pula berkata, syarikatnya melihat pasaran global untuk pesawat tanpa pemandu Cyber Eye 2 keluaran syarikat itu selepas berjaya membekalkannya kepada pelanggan pertama, Tentera Udara Diraja Thailand, pada Oktober 2008.

"Kami melihat kepada lebih banyak negara Asia dan juga seluruh dunia untuk membeli pesawat keluaran kami," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan