Keputusan ROS berhubung kedudukan CSL sah di sisi undang-undang - PM

Diterbitkan: Rabu, 4 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan Pendaftar Pertubuhan berhubung kedudukan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai timbalan presiden MCA adalah sah di sisi undang-undang.

Beliau berkata, keputusan ROS itu adalah berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan parti bahawa pelucutan seseorang pegawai yang dilantik atau dipilih memerlukan majoriti dua pertiga perwakilan.

"Itu sebab kenapa mereka berkata bahawa Datuk Seri Dr Chua Soi Lek masih timbalan presiden MCA. Ia merupakan peruntukan sama yang mengekalkan Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai Presiden MCA.

"Seseorang itu perlu konsisten. Anda tidak boleh mempunyai satu prinsip berkenaan presiden dan satu lagi prinsip mengenai timbalan presiden," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku laporan tahunan 2008 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKs) di Parlimen hari ini.

Berhubung kedudukan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung, yang merupakan antara empat anggota jawatankuasa pusat MCA yang dipecat semalam, Najib berkata, isu parti dan kerajaan adalah dua perkara yang berasingan.

"Serahkan kedudukan dalam kerajaan kepada Perdana Menteri," jelas Najib.

Najib juga berkata, tugas paling penting bagi para pemimpin MCA sekarang ialah untuk turun ke peringkat akar umbi dan meyakinkan masyarakat Cina dan rakyat Malaysia bagi menerima pelan perpaduan dan langkah-langkah bagi menyelesaikan krisis di dalam parti.

"Bahagian pertama, nampaknya mereka telah dapat mengatasinya. Bahagian kedua pula lebih mencabar.

"Mereka perlu turun ke peringkat akar umbi, mereka perlu berkhidmat kepada rakyat, mereka perlu meyakinkan rakyat, mereka perlu memastikan bahawa masyarakat Cina menerima penyelesaian mereka dan MCA perlu dilihat sebagai sebuah parti yang akan memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina dan rakyat Malaysia pada keseluruhannya," katanya.

MCA, sebuah parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional, terlibat dalam krisis sejak dua bulan kebelakangan ini.

Pada mesyuarat Agung Luar Biasa MCA 10 Okt lalu, perwakilan MCA antara lain menolak usul mengembalikan Dr Chua sebagai timbalan presiden dan hanya menerimanya kembali sebagai anggota MCA sebelum keputusan ROS mengatasi keputusan EGM itu.

EGM MCA meluluskan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat dan beliau terpaksa menangkis gesaan supaya beliau meletak jawatan dan bangkangan daripada naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai dan kedua-dua pemimpin wanita dan pemuda.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan