Bekas Mufti Perlis anggap diri disabotaj JAIS

Diterbitkan: Isnin, 2 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dr Asri dikerumuni media di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak sebentar tadi
Dr Asri dikerumuni media di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak sebentar tadi

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr.Mohd Asri menganggap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang membuatkan beliau menunggu selama lebih sejam di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini, adalah sebagai satu sabotaj.

Sehingga pukul 10 pagi, pihak JAIS tidak hadir ke mahkamah, sedangkan Mohd Asri tiba sejak pukul 9 pagi seperti yang diarahkan JAIS.

"Mereka tangkap saya dulu baru tuduh. Tetapi mahkamah kata belum ada apa-apa pertuduhan lagi. Saya pun tak tahu sebab apa nak datang sini

"Pihak JAIS yang bagi arahan, tetapi saya nak tahu 'tangan ghaib' siapa disebaliknya," kata Mohd Asri.

Terdahulu, lebih 100 individu memenuhi perkarangan mahkamah sejak pukul 9 pagi tadi untuk memberi sokongan terhadap beliau yang hadir untuk memberikan keterangan berhubung dakwaan dipercayai mengajar ilmu agama tanpa tauliah.

Antara yang hadir ialah Datin Paduka Marina Mahathir, Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Azman Shafawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib, Ahli Parlimen PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin dan pengasas Sisters In Islam (SIS), Zainah Anwar.

Turut kelihatan ialah wakil kepada Senator Datuk Jamil Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, wakil-wakil Umno, PAS dan PKR; serta enam orang peguam dari pelbagai firma guaman.

Mohd Asri ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tengah malam tadi, namun dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika Mohd Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.

Sementara itu, Thalia Rohaina Abdul Latif yang merupakan salah seorang peguam yang hadir di pejabat agama tersebut berkata, perkara ini tidak sepatutnya terjadi dan JAIS sepatutnya membuat siasatan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penahanan.

"Mereka (JAIS) datang menyerbu beliau di premis rakannya dan pada waktu itu beliau sedang menikmati makan malam, dan bukannya sedang memberikan ceramah seperti yang didakwa.

"JAIS sepatutnya siasat dulu sebelum membuat tuduhan," katanya.

Penyokong-penyokong Mohd Asri juga menganggap isu tidak bertauliah bukanlah alasan yang logik kerana beliau merupakan bekas mufti dan mempunyai kelayakan dalam ilmu hadis.

Menurut Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, beliau turut tidak berpuas hati apabila pihak JAIS turut mengaitkan Mohd Asri mengamalkan fahaman Wahabi.

Mohd Asri bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

"Itu hanya fahaman rekaan mereka," jelasnya yang turut diwakili oleh peguam Zulkifli Che Yong, Azmi Mohd Rais dan beberapa peguam pemerhati dari mahkamah sivil.

Dalam pada itu, Datin Paduka Marina Mahathir akui, beliau pernah mengikuti syarahan dan menyokong penuh bekas mufti itu.

"Beliau kena aniaya kerana tuduhan itu tidak berasas. Beliau adalah seorang mufti, takkanlah tidak bertauliah?

"Kalau dikatakan mengamalkan fahaman Wahabi, mereka faham kah makna Wahabi itu? Mereka kena faham terlebih dahulu, barulah buat tuduhan," kata Marina dalam nada marah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan