Wanita MCA desak semua AJK pusat parti letak jawatan

Diterbitkan: Ahad, 1 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pusat (CC) Wanita MCA hari ini mengambil keputusan menggesa seluruh anggota CC parti itu meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan kepimpinan baru diadakan.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat CC Wanita MCA yang diadakan di Wisma MCA di sini mulai pukul 10 pagi tadi dan berakhir enam jam kemudian.

Ketua pergerakan wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata keputusan yang dicapai hasil perbincangan anggota CC Wanita MCA itu akan dibawa ke Jawatankuasa Pusat parti itu yang akan bermesyuarat Selasa ini.

"Berikutan perbincangan mengenai perkembangan selepas EGM (mesyuarat agung luar biasa) pada 10 Oktober, situasi semasa dan desakan baru-baru ini supaya diadakan pemilihan baru parti oleh 16 anggota CC MCA menerusi EGM, CC Wanita MCA mencadangkan peletakan jawatan CC MCA untuk memberi laluan kepada pemilihan parti demi menyelesaikan kebuntuan sekarang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat CC wanita itu.

Turut hadir pada mesyuarat itu Setiausaha Agung CC Wanita MCA yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kie.

Chew yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata beliau yakin dengan cara tersebut, ia boleh memastikan integriti parti dapat diselamatkan dan membolehkan parti terus bergerak ke depan.

Chew berkata mesyuarat itu juga mencapai keputusan sebulat suara supaya keputusan EGM pada 10 Oktober lepas serta Perlembagaan MCA dihormati, dan "tidak seorangpun dibenarkan atau dianggap boleh mengatasi keputusan EGM".

Khamis lepas, 16 anggota CC termasuk Chew, Naib Presiden Tan Kok Hon dan Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong memohon supaya pemilihan baru parti diadakan.

Dalam isu lain, Chew berkata mesyuarat hari ini turut membincangkan iklan tv P1 WiMAX iaitu servis internet jalur lebar tanpa wayar yang dikatakan berunsur lucah ekoran gaya bahasa badan dan penggunaan istilah "potong".

"Kita akan berbincang dengan syarikat berkenaan dan meminta ditarik balik iklan tersebut. Kalau syarikat berkenaan tidak dengar dan menerima nasihat Wanita MCA, kita ambil tindakan termasuk menyeru semua wanita supaya memboikot perkhidmatan dan syarikat berkenaan," katanya.

Turut berbangkit dalam mesyuarat enam jam itu ialah cadangan sekolah satu aliran oleh pelbagai pihak termasuk baru-baru ini oleh tokoh sejarah dan akademik, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim pada 22 Oktober lepas.

"Kita bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (mengenai sekolah satu aliran yang akan mengambil kira pandangan rakyat).

"Kita juga berpegang kepada prinsip iaitu hak semua rakyat untuk belajar bahasa ibunda kita di bawah Perlembagaan Persekutuan. Inilah pandangan Wanita MCA," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan