Tsu Koon tidak tercalar dengan gesaan letak jawatan Menteri

Diterbitkan: Ahad, 1 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon tidak tercalar dengan gesaan seorang anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) supaya beliau meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana didakwa mempamerkan prestasi lemah.

"Jawapan saya kepada beliau ialah tidak. Itu adalah salah. Kami tidak akan terganggu. Kami komited terhadap apa yang kami mahu lakukan," katanya merujuk kepada gesaan anggota Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz pada Khamis lepas di Dewan Rakyat.

"Ini merupakan tempoh yang amat penting di mana kami perlu bekerja bersama-sama," katanya sambil menambah bahawa di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berlaku banyak perubahan dan juga cabaran dan seseorang perlu bertanya bagaimana seseorang itu dapat menyumbang kepada proses perubahan itu.

Koh menyifatkan kenyataan Mohamad sebagai "kuasa negatif" dan menegaskan ia bercanggah dengan semangat BN, tetapi menurutnya beliau yakin dengan sokongan semua anggota parti, kuasa positif akhirnya akan mengatasi kuasa negatif itu.

"Sudah tentu, akan ada kuasa negatif yang tidak bersetuju... dalam BN, dalam kalangan parti-parti komponen, malahan dalam Gerakan. Mereka akan terus menyalahkan pihak lain," katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Anggota Seumur Hidup Gerakan di sini hari ini.

Semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010, Mohamad mempersoalkan langkah kerajaan melantik Koh sebagai Menteri di Jabatan Menteri yang menyelia Petunjuk Prestasi Utama (KPI), menyatakan beliau percaya prestasi Koh sendiri adalah kurang memuaskan.

Penyokong kerajaan itu juga menggesa Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk meletakkan jawatan sebagai menteri, menyatakan parti beliau sendiri telah hilang keyakinan terhadapnya dan imej beliau juga telah tercemar.

Koh berkata Gerakan berdepan dengan tempoh sukar dan pelbagai cabaran selepas pilihan raya umum 2008.

"Kami perlu balik kepada asas, kepada rakyat, dengan mengkaji semula sejarah dan perjuangan kami untuk beralih ke era baru. Banyak yang perlu kami lakukan dan kerja keras," katanya.

Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe pula kesal dengan kenyataan Mohamad yang tidak menghormati Perdana Menteri yang telah melantik Koh sebagai menteri.

"Ia tidak akan menyelesaikan kemelut politik dan BN boleh diibaratkan sebagai bahtera yang bocor. Ia kenyataan yang angkuh dan bongkak," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pergerakan itu pada Persidangan Perwakilan Nasional Wanita/Pemuda ke-22 di Menara PGRM.

Timbalan Pengerusi Pemuda Gerakan Kebangsaan, Oh Tong Keong berkata desakan Mohamad itu bukan sahaja kurang sopan malah bercanggah dengan semangat BN kerana ia akan menjejaskan hubungan di antara parti komponen BN.

"Setiap parti komponen BN patut bekerjasama serta menumpukan usaha untuk menyelesaikan masalah rakyat pada masa ini dan bukannya memburuk-burukkan antara satu sama lain," katanya.

Terdahulu, lebih 30 anggota Pemuda dan Wanita Gerakan mengadakan protes selama 15 minit di hadapan Dewan Wawasan, Menara PGRM untuk menuntut Mohamad menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf secara terbuka kepada Koh. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan