Koh dilantik menteri untuk hargai sumbangan Gerakan - PM

Diterbitkan: Ahad, 1 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau melantik Presiden Parti Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai menteri Kabinet bagi menghargai peranan dan sumbangan parti itu kepada negara.

Perdana Menteri berkata pelantikan Koh perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses pemulihan parti itu di samping beliau mahu supaya suara anggota parti Gerakan sampai kepada kerajaan.

"Saya nak pelantikan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon ini sebagai sebahagian daripada proses pemulihan parti Gerakan.

"Jangan persoalkan, ini hak saya sebagai Perdana Menteri, dan saya membuat ini bukan (kerana) saya nak gunakan kuasa, (ini) sebab saya fikir saya pengerusi Barisan Nasional... saya kena buat keputusan untuk kepentingan Barisan Nasional.

"Saya bukan Presiden Umno sahaja, saya pengerusi Barisan Nasional. Saya bukan sahaja Perdana Menteri untuk orang Melayu, saya Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional parti Gerakan di sini hari ini.

Najib berkata beliau bertindak demikian selepas melihat secara keseluruhan masa depan negara dan masalah yang dihadapi oleh partiparti komponen Barisan Nasional (BN).

Khamis lepas, anggota Parlimen Sri Gading daripada BN, Datuk Mohamad Aziz menggesa supaya Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meletak jawatan kerana didakwa mempamerkan prestasi lemah.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat, Mohamad mempersoalkan langkah kerajaan melantik Koh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyelia Petunjuk Prestasi Utama (KPI), dengan menyatakan beliau percaya prestasi Koh sendiri kurang memuaskan.

Penyokong kerajaan itu juga menggesa Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat supaya meletakkan jawatan sebagai menteri, dan menyatakan parti beliau sendiri hilang keyakinan terhadapnya dan imej beliau juga tercemar.

Bagaimanapun, semalam Koh berkata beliau tidak tercalar dengan gesaan itu kerana beliau tetap komited terhadap apa yang beliau lakukan dan akan terus maju ke hadapan.

Sehubungan itu, Najib menggesa Gerakan supaya menyelesaikan segera masalah dalamannya untuk menguatkan kembali BN.

Najib berkata Gerakan perlu kembali menjadi sebuah parti yang dinamik dan progresif seperti waktu ia mula-mula ditubuhkan 35 tahun yang lalu iaitu pada 1974.

Katanya, memang terdapat ramai pengkritik yang skeptik di luar dan di dalam sesebuah parti.

"Kita mesti sedar dalam politik, begitu juga dalam hidup, orang kata kehidupan itu bukan selalunya indah...tetapi yang penting, seperkara yang akan menentukan sama ada kita akan berjaya ataupun tidak, ialah teguh dengan pendirian kita.

"Jika anda teguh dengan pendirian, jika anda percaya dengan apa yang dilakukan, percaya dengan apa yang anda pertahankan, anda percaya dengan perjuangan...anda dapat mengatasi semua cabaran, semua kesusahan.

"Tak apa, biarlah ada kritikan, biarkan jika ada waham...tapi anda bisikkan kepada diri sendiri, satu hari nanti saya akan buat mereka telan apa yang telah mereka katakan," katanya.

Perdana Menteri berkata jika semangat itu dijiwai anggota Gerakan, maka beliau percaya parti tersebut mampu bangun semula sebagai sebuah parti yang dinamik dan progresif.

"Tapi kalau kita mudah patah semangat, kalau kita tidak ada kepercayaan kepada diri sendiri, kalau kita tidak ada ketahanan diri, tidak ada ketahanan dalaman, anda mungkin lebih baik tidak ceburi politik," katanya.

Katanya, rakyat sudah memberi isyarat yang jelas pada Pilihan Raya Umum 2008 dan sehubungan itu, BN perlu mengambil iktibar memperbaiki kelemahan dan menguatkan parti untuk terus kekal relevan.

"Ini sekali sahaja tsunami politik...adakah anda begitu lemah sekali hingga tidak boleh lawan," katanya.

Perdana Menteri berkata sekiranya parti dapat membetulkan diri, kejayaan di Bagan Pinang boleh diulangi.

Najib berkata BN akan tetap relevan di sepanjang masa serta menjadi parti utama di negara ini kerana sanggup berubah dan mempunyai halatuju, prinsip dan landasan yang jelas.

Katanya, apa sahaja dasar yang dilakukan kerajaan adalah untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata satu lagi komponen penting dalam pentadbirannya ialah sistem penyampaian kepada rakyat berasaskan keperluan melalui pertimbangan yang adil dan saksama.

"Anda sampaikan apa yang dikehendaki rakyat, apa yang diperlukan rakyat, berasaskan kepada pertimbangan yang adil dan saksama...kita mesti berlaku adil kepada semua mengikut konteks Perlembagaan dan Rukun Negara kita," katanya.

Beliau turut mengakui bahawa sebelum pilihan raya umum lepas, BN "hampir tidak ada hubungan dengan rakyat."

Sehubungan itu, katanya, BN perlu berubah untuk kebaikan.

"Kita akan berubah untuk yang lebih baik. Saya beri komitmen itu, kita akan berubah untuk yang lebih baik...tapi saya mintaklah, bukan saya sahaja, jangan tengok PM saja, kita semua mesti menampakkan perubahan itu.

"Ini macam keretapi, (apabila) keretapi itu bergerak...tidak boleh boleh lokomotif itu sahaja...semua orang yang lain mesti bekerjasama.

"Gerakan mesti bekerjasama, MCA mesti bekerjasama, MIC mesti bekerjasama, PPP mesti bekerjasama dan begitu juga dengan parti-parti yang lain (dalam BN).

"Jadi, kalau ada masalah dalaman cepat-cepatlah selesaikan...apa anda tunggu lagi, selesaikan masalah anda...perkukuhkan BN, mesti teguh pendirian... percayalah, kita berada di laluan yang betul, landasan yang betul," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan