Hanya 24 unit rumah teres sahaja untuk penduduk Buah Pala

Diterbitkan: Ahad, 1 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PULAU PINANG: Koperasi Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang Bhd bersetuju membenarkan pemaju projek perumahan Kampung Buah Pala, Nusmetro Venture (M) Sdn Bhd mendirikan 24 unit rumah teres di atas tanah milik koperasi itu untuk bekas penghuni kampung berkenaan.

Dalam mesyuarat agung khasnya semalam, koperasi berkenaan membuat keputusan untuk mengikut kehendak kerajaan negeri supaya bekas penduduk di situ diberikan rumah teres sebagai jalan penyelesaian terhadap isu perpindahan penduduk kampung berkenaan.

Pengerusinya, Abdul Razak Mansor bagaimanapun berkata koperasi memberikan syarat supaya 10 penduduk terawal yang menerima tawaran mengosongkan tapak rumah mereka itu dimasukkan dalam senarai penduduk yang bakal menerima 24 unit rumah teres dua tingkat berkenaan.

"Mesyuarat khas semalam sebulat suara meluluskan pembinaan 24 unit rumah teres untuk bekas penduduk Kampung Buah Pala seperti yang diminta pemaju dan ia adalah muktamad.

"Tiada sebarang tambahan unit dibenarkan lagi selepas ini dan mana-mana penduduk yang tidak menerima tawaran perpindahan pemaju sebelum ini tidak akan diambil kira dalam pemberian rumah itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan