PKR Sabah terima sebarang keputusan Dr Jeffrey, Christina

Diterbitkan: Jumaat, 30 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah yang baru Ahmad Thamrin Jaini berkata parti itu akan menerima sebarang keputusan yang akan dibuat bekas naib presiden Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan bekas timbalan pengerusi negeri Christina Liew berhubung pendirian mereka dalam parti itu.

Bagaimanapun, beliau berkata tindakan mereka keluar parti kini menyebabkan parti itu hanya mempunyai seorang wakil negeri di peringkat pusat melalui anggota majlis tertinggi PKR Ansari Abdullah.

"Saya belum bercakap sama ada dengan Dr Jeffrey atau Christina. Tapi saya bercadang berbuat demikian. Walau apa pun, kami akan menghormati keputusan mereka kerana kami berpegang kepada prinsip demokrasi, kebebasan untuk memilih dan kebebasan untuk menyuarakan pendapat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pertamanya dengan ketua-ketua bahagian PKR negeri di sini hari ini.

Pada mesyuarat itu, Ahmad Thamrin berkata 17 daripada 25 bahagian menyokong pelantikannya sebagai pengerusi perhubungan negeri.

Ketika ditanya mengenai lapan bahagian yang lain, beliau berkata mereka gagal menghadiri mesyuarat itu berikutan notis yang dikeluarkan lewat.

Tanpa mengulas lebih lanjut, beliau berkata Dr Jeffrey telah menghantar mesej melalui SMS bahawa beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat itu.

Bahagian Kota Kinabalu, yang diketuai Liew, menghantar seorang wakil.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Liew berkata bahagiannya menegaskan bahawa Ahmad Thamrin tidak mendapat sokongan majoriti.

"Apa yang berlaku selepas ini hanya semata-mata manipulasi permainan angka.

"Hitam tetap hitam dan putih tetap putih. Saya tidak mahu terlibat dengan kebenaran setengah masak. Ini bukan cara saya," katanya.

Dr Jeffrey dan Liew meletakkan jawatan dalam parti selepas tidak bersetuju dengan pelantikan Ahmad Thamrin. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan