Pulaukan pihak yang lancar perang - Tun Mahathir

Diterbitkan: Khamis, 29 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menggesa masyarakat antarabangsa memulaukan pihak yang melancarkan perang sebagai satu cara untuk menghukum mereka.

"Mereka ini yang menyebabkan perang dan membunuh begitu banyak orang, harus dianggap sebagai penjenayah, masyarakat tidak harus berdampingan dengan mereka dan patut mengelakkan mereka. Negara juga perlu mengambil langkah yang sama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada "Persidangan Kejenayahan Perang dan Tribunal Jenayah Perang 2009" di sini.

Beliau berkata sebagai contoh, bekas Perdana Menteri Britian Tony Blair, yang melawat Sabah pada Ogos, sepatutnya tidak dibenarkan datang ke Malaysia kerana beliau juga boleh dianggap sebagai penjenayah perang.

"Kita tahu yang beliau berada di Sabah untuk bercuti tetapi sebenarnya beliau dijemput untuk berceramah mengenai keadilan, apa yang beliau tahu mengenai keadilan? Sesuatu yang mengaibkan bahawa kita membenarkan orang sebegitu datang ke Malaysia dan bercakap mengenai keadilan, ia tidak masuk akal," katanya.

Dr Mahathir menyifatkan Blair sebagai penjenayah perang atas peranannya menyokong Amerika Syarikat dalam pencerobohan di Iraq.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana yang terkenal dengan kelantangannya, berkata semua pihak termasuk pemimpin yang melancarkan perang perlu dipertanggungjawabkan bagi kematian dan kemusnahan akibat daripada keputusan mereka itu.

"Tidak penting sama ada penyerangnya itu menang atau tidak, mereka perlu dianggap sebagai bersalah dan pemimpin mereka perlu dibicarakan dan dihukum, dihukum berat.

Hanya dengan cara ini dapat menghalang pihak yang agresif daripada melancarkan perang," katanya.

Ketika ditanya kenapa beliau fokus kepada Amerika Syarikat sebagai sasaran utama, Dr Mahathir berkata negara itu merupakan peneraju dalam melancarkan perang di Iraq.

"Di Iraq, tentera Amerika ialah penerajunya, mereka ialah pihak yang menangkap orang dan menahan mereka selama bertahun-tahun, mendera dan menyeksa mereka," katanya.

Dr Mahathir berkata media boleh memainkan peranan besar dalam menyedarkan orang ramai bahawa perang ialah satu jenayah dan memberitahu keadaan sebenar mengenai perang dan pembunuhan.

"Tetapi media antarabangsa tidak akan berbuat demikian kerana bagi mereka, perang adalah sesuatu yang menarik. Perang adalah menarik kerana boleh merakamkan banyak gambar, malahan menjadi pemberita yang berani pergi ke kawasan zon perang.

"Perang adalah sesuatu yang lebih menarik kepada media, tetapi saya berharap pertimbangan yang adil akan dipaparkan dalam media terutamanya media timur bukannya media barat," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata pencarian bagi senjata paling berkuasa sepatutnya sudah berakhir kerana perang bukan lagi satu pilihan dalam penyelesaian pertikaian antara negara.

"Malangnya negara kuasa nuklear ini masih membangunkan, menjalankan ujian dan mengeluarkan lebih banyak senjata nuklear. Mereka bercakap mengenai bom nuklear yang selamat, bom nuklear kecil dan bom nuklear taktikal.

"Mereka juga sudah menggunakan bahan uranium dalam bom dan misil yang menyebabkan penyakit seperti kanser menular di kalangan ratusan dan ribuan yang terselamat dalam serangan mereka," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan