Notis makluman bubar DUN adalah palsu - Sivakumar

Diterbitkan: Khamis, 29 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar hari ini mendakwa beliau menjadi mangsa taktik kotor melalui penyebaran notis makluman sidang DUN palsu yang memaklumkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabat DAP di sini, Sivakumar menafikan yang beliau mengeluarkan notis itu.

"Saya akan membuat laporan polis berhubung perkara ini," kata Sivakumar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh yang turut memberikan salinan contoh notis terbabit.

Notis menggunakan kepala surat Speaker DUN Perak bertarikh 23 Oktober 2009 itu memaklumkan bahawa sidang DUN hari ini akan diadakan di Hotel Heritage bagi membentangkan Bajet 2010 dan usul pembuburan dewan oleh Adun Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Notis berkenaan turut memaklumkan bahawa Sultan Azlan Shah telah berkenan menerima menghadap Mohammad Nizar di Istana Kinta di sini pada 3 petang hari ini bagi membubarkan DUN Perak untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Sivakumar berkata beliau hanya mengetahui perkara itu ketika menghadiri sidang DUN di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sivakumar mendakwa polis menggunakan kekerasan terhadap Adun pakatan pembangkang yang menghadiri sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini dengan merampas peralatan elektronik seperti kamera, kamera video dan komputer riba.

Beliau turut mendakwa polis bertindak kasar semasa merampas Jubah Speaker yang dipakainya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan