Murugiah kemuka rayuan kepada ROS berhubung status Presiden PPP

Diterbitkan: Khamis, 29 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah hari ini berkata beliau telah mengemukakan rayuan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung status pelantikannya sebagai Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) pada mesyuarat agung khas Mei lepas.

Murugiah yang dipecat dari PPP pada Mei lepas berkata surat rayuan berkenaan dihantar pada 15 Oktober selepas menerima surat dari ROS supaya beliau mengemukakan rayuan berhubung mesyuarat berkenaan.

"Saya bersama enam anggota PPP yang dipecat tanpa sebab ini telahpun menghantar surat rayuan kerana yakin kami masih ahli parti, sementara menunggu keputusan dari ROS saya akan meneruskan tugas sebagai Presiden parti...kesemua 57,000 penyokong saya akan menggunakan platform PPP sehingga menunggu keputusan rayuan tersebut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun, Murugiah berkata beliau hairan kerana surat ROS bertarikh 26 Ogos 2009 yang meminta beliau mengemukakan rayuan berhubung EGM berkenaan begitu lewat diterima.

"Saya hairan mengapa surat yang ditandatangani Ketua Pengarah ROS itu lewat sampai," katanya.

Murugiah berkata beliau telah berbincang dengan peguamnya selepas menerima surat itu dan menghantar rayuannya kepada ROS selepas itu.

"Mungkin ROS sudah lihat ada unsurunsur yang boleh membantu saya maka mereka telah meminta saya supaya membuat rayuan dan saya telahpun membuat rayuan...yang lain tindakan susulan itu akan saya umumkan kemudian," katanya.

Lembaga Disiplin PPP pada Mei lepas memecat Murugiah kerana menggunakan pejabatnya, iaitu pejabat Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, untuk mengadakan satu persidangan akhbar yang mencemar nama baik parti dan membuat kenyataan yang bersifat fitnah terhadap parti dan kepimpinan parti.

Isu status Murugiah atau Datuk M. Kayveas sebagai Presiden PPP selesai Ogos lepas selepas siasatan ROS mengesahkan Kayveas sebagai presiden PPP.

Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein yang menyatakan pengesahan itu adalah berdasarkan pemilihan Anggota Majlis Tertinggi sesi 2005/2010 di dalam perhimpunan Agung PPP pada 2 Oktober 2005.

Berikutan itu, pelantikan Murugiah sebagai Presiden PPP melalui Mesyuarat Agung Khas pada 24 Mei lepas tidak boleh diterima kerana tidak mematuhi Perlembagaan Parti. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan