Kerajaan masih kaji lebuh raya bertol

Diterbitkan: Khamis, 29 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam peringkat kedua mengkaji isu-isu pelaksanaan lebuh raya bertol yang turut merangkumi analisis model kewangan, prestasi syarikat konsesi, unjuran trafik dan impak pembinaan lebuh raya bertol ke atas pembangunan sepanjang koridor.

"Kajian juga terus diperhalusi bagi memastikan langkah-langkah yang diputuskan oleh kerajaan kelak boleh dilaksanakan dengan implikasi kewangan yang minimum serta tidak mengganggu sentimen pasaran dan pelaburan jangka panjang serta keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis untuk soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) dan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang ingin Perdana Menteri menyatakan perkembangan untuk mengkaji pengambilalihan lebuh raya dan status cadangan Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang bermanfaat kepada rakyat berkaitan isu lebuh raya bertol.

Nor Mohamed berkata kajian menyeluruh dan mendalam adalah penting ke arah mencapai penyelesaian jangka panjang yang terbaik bagi semua pihak.

Beliau berkata kerajaan juga telah memperkenalkan dua penyelesaian jangka pendek iaitu dengan tidak menaikkan kadar tol bagi lebuh raya tertentu serta memperkenalkan rebat 20 peratus kepada pengguna Touch & Go yang kerap.

Sebuah entiti swasta, Asas Serba Sdn Bhd dilaporkan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kerja Raya pada Mei lepas untuk memperoleh kesemua 22 syarikat konsesi lebuh raya dengan harga RM50 bilion.

Syarikat itu dikatakan disokong oleh empat ahli perniagaan termasuk bekas pegawai tertinggi Plus. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan