Badrul Hisham isytihar keluar PKR untuk sokong BN

Diterbitkan: Khamis, 29 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, hari ini mengisytiharkan dirinya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat berkuatkuasa serta merta.

Pada satu sidang akhbar di sebuah hotel di sini, Badrul Hisham, 49, berkata beliau akan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata keputusannya keluar dari PKR itu disebabkan beliau sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti berkenaan.

Dengan keputusan Badrul Hisham menjadi wakil rakyat Bebas, pakatan pembangkang yang memerintah Selangor kini mempunyai 35 kerusi manakala Barisan Nasional 20 kerusi. Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.

"Keputusan ini saya buat dengan penuh kerelaan tanpa sebarang paksaan, ugutan atau pun apa-apa faedah kepada diri.

"Malah keputusan ini berasaskan kepada prinsip agama dan moral saya sebagai seorang Islam," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri isterinya, Ramiza Mazlan.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini meminta Badrul Hisham melepaskan jawatan kerana mendakwa beliau gagal melaksanakan tugasnya dengan berkesan.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata beliau tidak akan sesekali melepaskan jawatannya sebagai Adun Pelabuhan Klang kerana beliau dipilih oleh rakyat dan bukannya oleh Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata tindakan keluar PKR dan menjadi Adun bebas dapat menjimatkan wang rakyat di samping dapat mengelak tekanan daripada Khalid supaya beliau melepaskan jawatannya itu.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai manamana parti politik selepas ini, Badrul Hisham berkata setakat ini beliau belum memikirkannya.

"Saya ingin tegaskan, saya mahu berkhidmat dengan cemerlang untuk rakyat khususnya pengundi saya di Pelabuhan Klang.

"Malah saya yakin akan mampu berkhidmat dengan lebih baik sebagai wakil rakyat Bebas tanpa sebarang gangguan mainan politik oleh kerajaan pakatan (pembangkang) yang ada sekarang," katanya.

Badrul Hisham berkata keengganan pihak pentadbiran kerajaan Selangor membantunya dalam penyelarasan peruntukan kewangan bagi kawasan DUN Pelabuhan Klang seolah-olah menganaktirikan beliau berbanding dengan wakil rakyat lain.

Selain itu, katanya, tindakan kerajaan negeri menubuhkan Pusat Penyelaras Khidmat Rakyat di DUN Pelabuhan Klang dan diuruskan oleh wakil rakyat kawasan lain, merupakan tindakan yang membelakangkannya sebagai Adun kawasan berkenaan.

Mengenai kenyataan Khalid yang mencadangkan beliau mendapatkan rawatan psikiatri dan menuduhnya mempunyai masalah kesihatan setelah pernah terlibat dengan kemalangan, Badrul Hisham berkata perkara itu merupakan satu tohmahan dan fitnah.

"Apabila Menteri Besar Selangor menyatakan saya mempunyai masalah kekuatan otak, ianya merupakan satu penghinaan ke atas maruah diri saya dan juga keluarga saya.

"Tindakan beliau itu merupakan perbuatan tidak bermoral pemimpin PKR," katanya. Badrul Hisham juga menafikan kenyataan Khalid bahawa beliau tidak menjawab surat tunjuk sebab sedangkan suratnya yang bertarikh 28 Ogos 2009 telah diterima beserta cop rasmi pejabat Menteri Besar dan pejabat Setiausaha Agung PKR pada 2 Sept 2009. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan