Semangat DEB terus diterap dalam dasar kerajaan

Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dasar-dasar yang digubal berlandaskan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan diteruskan bagi menjamin taraf sosio-ekonomi rakyat, khasnya masyarakat Bumiputera di negara ini, terus ditingkatkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata walaupun DEB telah dihapuskan namun semangatnya akan terus diamalkan berdasarkan keberkesannya meningkatkan sosio-ekonomi rakyat di negara ini.

"Dasar Pembangunan Nasional (DPN) bermula dari 1991 hingga 2000, Dasar Wawasan (2001-2010) dan Misi Nasional sehingga 2020 tetap mengekalkan semangat DEB.

"Ia adalah satu semangat yang akan terus diamalkan oleh negara dengan konsep pertumbuhan dan pengagihan yang seimbang antara semua kaum," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar (BN-Jerantut) yang ingin tahu sejauh manakah kejayaan kaum Melayu sejak DEB dilaksanakan.

Nor Mohamed berkata peningkatan sosioekonomi masyarakat Bumiputera boleh dilihat berdasarkan pelbagai pencapaian termasuk pengurangan kadar kemiskinan yang ketika ini berada di tahap 5.1 peratus sekarang berbanding 23 peratus pada 1990 dan 64.8 peratus ketika DEB mula diperkenalkan pada 1971.

"Pendapatan purata masyarakat Bumiputra juga meningkat iaitu daripada RM172 pada 1970, RM640 (1990) dan pada purata RM3,156 ketika ini," katanya.

Peningkatan purata masyarakat Bumiputera yang tinggal di bandar ketika ini iaitu 56.3 peratus berbanding 22.7 peratus pada 1990 juga membuktikan kejayaan DEB yang boleh dibanggakan.

Beliau berkata berdasarkan dasardasar yang diperkenalkan oleh kerajaan juga telah menambahkan bilangan masyarakat Bumiputera dalam kerjaya profesional, di mana bagi arkitek ketika ini seramai 46.2 peratus atau 536 orang berbanding hanya 4.3 peratus (12 orang) dan 23.6 peratus (231 orang), masing-masing pada tahun 1970 dan 1990.

"Bagi akauntan, jumlahnya hanya 6.8 peratus (40 orang) pada 1970, tetapi ia meningkat 11.2 peratus (629 orang) pada 1990 dan pada hari ini seramai 5,500 akauntan Bumiputera berjaya dilahirkan.

"Bagi profesion doktor, bermula dengan hanya 3.3 peratus pada 1970, jumlah itu semakin meningkat kepada 27.8 peratus (1,951) pada 1990 dan 43.8 peratus (7,439) sehingga kini," katanya.

Katanya bagi terus memastikan taraf sosioekonomi masyarakat terutamanya Bumiputera ditingkatkan, pelbagai langkah diambil antaranya dengan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang memberi peluang kepada pelajar-pelajar termasuk di luar bandar untuk melahirkan lebih ramai golongan profesional di kalangan Bumiputera di negara ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan