Polis sangkal dakwaan anggota keselamatan lakukan kekasaran di Perak

Diterbitkan: Rabu, 28 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Polis menyangkal dakwaan pembangkang yang mengatakan anggota keselamatan melakukan kekasaran dan menghalang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat memasuki Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak Darul Ridzuan untuk menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Abdullah berkata polis juga menolak dakwaan pembangkang yang mengatakan pasukan keselamatan bertindak kasar terhadap bekas speaker yang juga Adun Tronoh V.Sivakumar sehingga menyebabkan jubah yang dipakainya terkoyak.

"Anggota polis tidak menghalang manamana Yang Berhormat, cuma mereka perlu mengambil masa untuk memasuki dewan kerana kami sudah menerima arahan untuk memastikan tiada sebarang alat perakam dan pralatan media seperti kamera, video kamera dan komputer riba di bawa masuk ke dalam dewan," katanya pada satu persidangan akhbar di sini hari ini.

"Anggota polis yang bertugas perlu menjalankan pemeriksaan terhadap Adun sebelum memasuki dewan dan prosedur itu dijalankan kepada semua Adunlain," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Sivakumar yang mengatakan polis menyalahguna kuasa dan melakukan kekerasan terhadap Adun pembangkang ketika memasuki sidang dewan hari ini.

"Polis terpaksa mengarahkan Sivakumar menyerahkan jubah dan songkok Speaker kerana keduadua barang itu akan dijadikan barang bukti susulan daripada laporan polis yang dibuat pada 20 Oktober lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," kata Zulkefli.

Menurutnya sebelum ini polis sudah menyiasat dan menghantar notis awal kepada Sivakumar meminta supaya beliau memulangkan jubah tersebut tetapi Adun Tronoh itu enggan mematuhi arahan menyebabkan polis terpaksa meramps jubah itu sebelum dia memasuki dewan.

"Anggota polis cuba berdiplomasi tetapi tidak diendahkan Adun pembangkang itu," katanya.

Merujuk kepada kenyataan Adun Pantai Remis Nga Kor Ming mengenai pemeriksaan yang dijalankan sebelum persidangan bermula, Zulkefli berkata pemeriksaan yang menggunakan alat pengimbas itu dibuat bagi menentukan tiada barang larangan dibawa masuk ke dalam dewan, dan menurutnya Adun pembangkang itu cuba menolak dan menghalang polis menjalankan tugas mereka.

Beliau berkata polis menjalankan tugas secara adil kerana semua Adun dan media menjalani pemeriksaan yang sama. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan