ROS tidak akan campur tangan isu MCA - Berita Semasa | mStar

ROS tidak akan campur tangan isu MCA

Diterbitkan: Selasa, 27 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak akan campur tangan dalam isu MCA berhubung keputusan yang dicapai pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti itu kerana ia dibuat dalam satu mesyuarat yang sah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ROS tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan berkenaan dan menegaskan kes MCA adalah berbeza dengan kes Parti Progresif Penduduk (PPP) yang dirujuk kepada pertubuhan itu baru-baru ini.

"Pemecatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek daripada jawatan Timbalan Presiden MCA dan usul tidak percaya terhadap Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat dibuat menerusi EGM yang sah pada 10 Oktober lalu.

"Selepas EGM yang sah dan setelah merujuk Akta Pertubuhan 1966, kita dapati tiada peruntukan yang membenarkan ROS untuk campur tangan dan membuat keputusan dalam hal tersebut.

"Dalam hal ini kena bezakan kedudukan MCA dan PPP, ini kerana (isu) PPP adalah berkisar kepada kesahihan EGM yang dipanggil oleh Datuk T. Murugiah," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin menasihatkan supaya MCA menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa membabitkan ROS.

"Tak perlu bawa ROS dalam hal ini kerana kalau betul-betul mereka ikhlas nak tengok barisan MCA dirapatkan, selesaikan sesama mereka di dalam MCA.

"Tak perlu pihak ketiga masuk dalam hal ini, ini banyak bergantung dengan mereka yang terlibat dalam parti MCA," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh ROS bagi membantu menyelesaikan krisis yang berlaku dalam MCA.

Ini berikutan persoalan yang dibangkitkan oleh Dr Chua dalam sidang medianya Sabtu lepas berikutan tindakan ROS yang belum membuat keputusan mengenai kedudukannya sebagai Timbalan Presiden MCA yang sah walaupun EGM telah lama berlalu.

Pada EGM tersebut perwakilan MCA membuat kejutan dengan menolak usul mengembalikan jawatan Dr Chua sebagai Timbalan Presiden serta menolak kepimpinan Ong sebagai Presiden parti, kecuali hanya meluluskan usul menerima kembali Dr Chua dalam MCA.

Hishammuddin turut mendedahkan bahawa beliau ada menerima surat daripada Dr Chua semalam namun akan meneliti terlebih dahulu maksud kandungan surat berkenaan.

"Saya dah terima surat, sama ada surat itu adalah penjelasan kepada fakta-fakta atau apa yang berlaku sama ada ianya merupakan hanya maklumat tambahan atau ianya satu rayuan.

"Saya kena merujuk kepada peguam kementerian, sekiranya dianggap satu rayuan, saya perlu buat keputusan," katanya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan