Sudah jatuh ditimpa tangga: Dua mati dihempap pokok lepas tidak boleh menoreh kerana hujan - Berita Semasa | mStar

Sudah jatuh ditimpa tangga: Dua mati dihempap pokok lepas tidak boleh menoreh kerana hujan

Diterbitkan: Ahad, 25 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GOMBAK: Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah perumpamaan yang dapat digambarkan ke atas lima kumpulan lelaki yang membuat keputusan untuk pergi memancing setelah mereka tidak dapat menoreh kerana hujan tetapi kemudiannya menjadi mangsa dihempap pokok.

Kejadian yang berlaku berdekatan dengan Empangan Klang Gate, Ulu Klang itu telah mengorbankan dua daripada mereka dan mencederakan tiga yang lain.

Zainal Mat Tinggi, 25, salah seorang mangsa kejadian yang terselamat memberitahu, mereka berlima telah ke satu kawasan sunyi dekat empangan tersebut pada jam 7 petang Sabtu lalu untuk memancing setelah hujan seharian telah menghalang mereka daripada menoreh.

“Menjelang jam 11, kami pun berhenti memancing dan membuat tempat berteduh untuk tidur di bawah sepohon pokok. Tetapi pada lebih kurang jam 1.30 pagi ketika kami semua sudah terlena kami terdengar bunyi dahan patah lalu bingkas bangun melarikan diri.

“Saya kemudian menjerit memanggil nama kawan-kawan saya yang lain tapi dua orang daripada kawan saya itu tidak menyapa kembali teriakan saya. Saya kemudiannya menemui mereka sudah tidak bernyawa dihimpit dahan pokok yang tumbang itu,” katanya.

Zainal berkata, mangsa yang meninggal dunia itu adalah pakciknya, Sambi Sappar, 55, seorang warga Indonesian dengan status PR dan seorang lagi warga Indonesia yang hanya dia kenali dengan nama Sai, 52.

Kata Zainal lagi, mereka terpaksa meredah kegelapan malam selama dua jam sebelum dapat menghubungi polis pada lebih kurang menjelang Subuh.

OCPD Ampang, Penolong Pesuruhjaya Polis Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu sambil menambah, pihak polis dan pasukan penyelamat yang lain berjaya sampai ke tempat kejadian pada kira-kira jam 7.30 pagi.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan