Rukun Tetangga mampu tingkat kefahaman penduduk mengenai perpaduan

Diterbitkan: Ahad, 25 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kumpulan Rukun Tetangga di setiap penempatan diminta bergiat lebih aktif meningkatkan kefahaman penduduk mengenai kebudayaan dan perpaduan agar semangat cintakan kejiranan dan perpaduan dapat dikukuhkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, saranan itu bersesuaian dengan seruan Gagasan 1Malaysia yang dipraktikkan kerajaan yang menekankan bahawa setiap warga Malaysia bertanggungjawab untuk mengekalkan perpaduan dan kebudayaan masing-masing.

Beliau berkata semangat perpaduan itu harus dihargai dan disemai di kalangan generasi muda supaya usaha pembinaan negara berterusan.

"Setiap warga Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk mengisi semangat Gagasan 1Malaysia dalam tiaptiap kawasan penempatan terutamanya menerusi gerak kerja di peringkat akar umbi.

"Kita perlu sentiasa peka dan komited kepada semangat 1Malaysia...maknanya, dalam apa sahaja yang hendak dilaksanakan kita perlu menjaga dan memupuk perpaduan supaya menjamin suasana muhibah dapat dikekalkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gerak Padu Membudayakan Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian sempena Aidl Fitri dan Deepavali di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Azman Amin Hassan.

Program tiga hari yang bermula semalam, melibatkan penyertaan kawasan Rukun Tetangga seluruh Wilayah Persekutuan itu turut menampilkan beberapa aktiviti kerakyatan seperti Malam Seni Jiran Muda, pertunjukan wayang pacak, gotong-royong jamuan rakyat dan pertandingan gubahan.

Selain Rukun Tetangga, Dr Koh berkata, pemimpin akar umbi lain seperti Persatuan Penduduk dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu turut sama memainkan peranan memberi penerangan serta mendidik masyarakat supaya lebih menyayangi perpaduan.

"Melalui amalan yang telah dilakukan selama lebih 75 tahun sejak Rukun Tetangga diperkenalkan, semangat 1Malaysia ini memang telah pun wujud...yang perlu kita perkasakan lagi semangat ini dengan mencari kaedah menyemarakkannya kepada generasi ketika ini.

Dr Koh berkata, bagi membantu rukun tetangga melaksanakan program tersebut JPNIN serta Jabatan Kebudayaan di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan merangka pendekatan untuk menggalakkan lebih ramai belia mempelajari budaya berdasarkan kepada konsep meraikan kepelbagaian kebudayaan.

Pada majlis itu Dr Koh turut melancarkan Pusat Skim Rondaan Sukarela (SRS), sebuah kabin yang akan digunakan sebagai tempat seliaan operasi SRS, tempat mesyuarat serta tempat simpanan barang. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan