Kelantan anggar bajet defisit RM29.50 juta tahun depan

Diterbitkan: Ahad, 25 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Kerajaan Negeri Kelantan dianggar mengalami bajet defisit sebanyak RM29.50 juta pada tahun depan dengan perbelanjaan mengurusnya dianggarkan berjumlah RM416.88 juta berbanding hasil yang dianggar berjumlah RM387.38 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata defisit bagi tahun 2010 dijangka berjumlah RM29.50 juta berbanding defisit bajet 2009 berjumlah RM20.20 juta.

Beliau berkata anggaran hasil pada 2010 dijangka meningkat kepada RM387.38 juta berbanding RM339.98 juta pada 2009.

"Walaupun berlaku kenaikan dalam perolehan hasil, namun kenaikan tersebut masih tidak dapat menampung sepenuhnya perbelanjaan mengurus," katanya ketika membentangkan Bajet 2010 Kelantan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau mewakili Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk pembentangan bajet negeri yang bertemakan "Bajet Memacu Dalam Hematt".

Husam berkata anggaran hasil negeri pada 2010 dijangka akan diperolehi melalui hasil cukai sebanyak RM77.33 juta, hasil bukan cukai (RM208.28 juta) dan Terimaan Bukan Hasil (RM101.77 juta).

Katanya kenaikan hasil 2010 adalah berpunca kenaikan beberapa sumber hasil tertentu akibat penyemakan semula yang dibuat oleh jabatan-jabatan setelah mengambil kira pungutan sebenar hasil yang diperoleh bagi tahun ini.

Beliau berkata hasil tanah akan menjadi penyumbang terbesar hasil negeri tahun depan dengan jumlah RM110.59 juta, diikuti hasil perhutanan (RM107.48 juta).

Katanya anggaran perbelanjaan mengurus tahun 2010, yang berjumlah RM416.88 juta, turut meningkat sebanyak RM56.62 juta berbanding pada 2009 iaitu RM360.26 juta.

Beliau berkata peningkatan itu merangkumi Perbelanjaan Tanggungan RM36.36 juta dan Perbelanjaan Bekalan RM380.53 juta.

Bagi anggaran perbelanjaan pembangunan 2010, Husam berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM181.30 juta yang dibiayai di bawah peruntukan negeri termasuk RM95 juta daripada sumber pinjaman.

"Kerajaan negeri akan terus memberikan fokus dan penekanan kepada usaha mempertingkatkan penyediaan prasarana dan kemudahan bagi memajukan tahap sosioekonomi rakyat jelata berasaskan kepada kemampuan kewangan negeri," katanya.

Beliau berkata melalui tema bajet 2010, kerajaan negeri menggariskan tiga strategi iaitu penjanaan ekonomi untuk semua rakyat, memacu pembinaan insan melalui Islam dan memacu pembelaan golongan daif dan miskin, orang kurang upaya, armalah dan warga emas.

Beliau berkata antara elemen yang ditekankan dalam strategi pertama ialah aspek pembangunan usahawan, memacu pembangunan infrastruktur asas seperti pembinaan jalan dan jambatan, memaju sektor pertanian dengan menggalakkan pelaburan dan aktiviti pertanian, memacu sektor penternakan, perikanan dan pelancongan.

Dalam strategi kedua, Husam berkata antaranya program memartabatkan Islam melalui langkah penambahbaikan pentadbiran agama Islam, pembinaan kompleks Islam baru di Gua Musang, Machang, Pasir Puteh dan Bachok yang berjumlah RM8 juta.

Bagi strategi ketiga pula, katanya kerajaan negeri akan terus memberikan perhatian utama kepada golongan sasar melalui peruntukan RM1.2 juta di bawah program pembelaan rakyat miskin, projek penempatan semula penduduk (RM200,000), projek bantuan bekalan air dan elektrik (RM1 juta) dan subsidi baja padi (RM2 juta).

Sementara itu, ketua pembangkang Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas)berkata berikutan jumlah defisit yang semakin melebar, kerajaan negeri seharusnya memikirkan strategi untuk meningkatkan hasil negeri melalui penyediaan rancangan pembangunan jangka panjang.

Beliau berkata jumlah defisit yang meningkat berbanding pada tahun ini menunjukkan tiada langkah kerajaan negeri untuk memajukan hasil perolehan Kelantan walaupun hampir 20 tahun memerintah.

"Apa yang saya lihat mereka masih bergantung kepada hasil sumber asli seperti hutan dan tanah dan tiada kaedah lain untuk meningkatkan hasil negeri.

"Sekarang ini mereka mengharapkan sumber bayaran royalti minyak daripada kerajaan pusat...PAS perlu ada kaedah yang lain untuk mencari hasil perolehan baru seperti penggunaan tenaga manusia atau rakyat Kelantan untuk memacu hasil perolehan negeri," katanya kepada pemberita selepas pembentangan bajet itu.

Setiap tahun, ramai anak Kelantan yang tamat pengajian terpaksa berhijrah ke negeri lain untuk bekerja berikutan peluang itu tiada di Kelantan, katanya.

Beliau juga kecewa kerana soal pengangguran tidak disentuh dalam bajet itu. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan