Sebuah pemerintahan Islam perlu adil dalam semua perkara - Mahathir

Diterbitkan: Sabtu, 24 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Tun Dr Mahathir Mohamad (dua, kanan) hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Ke- 48 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini. Turut sama mengiringi Tun, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kanan). Bekas Perdana Menteri itu berkata mendirikan pemerintahan yang baik apabila berkuasa amatlah penting untuk menentukan Islam berkembang dengan baik dan mereka yang bukan Islam tidak menjauhkan diri daripada orang Islam.-Foto BERNAMA

MELAKA: Sebuah pemerintahan yang cekap dan adil yang diterajui oleh orang Islam perlu bertunjangkan kepada nilai-nilai Islam iaitu adil dalam semua perkara, bersih daripada rasuah, menghormati undang-undang serta prihatin kepada semua kaum.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata justeru, mendirikan pemerintahan yang baik apabila berkuasa amatlah penting untuk menentukan Islam berkembang dengan baik dan mereka yang bukan Islam tidak menjauhkan diri daripada orang Islam.

"Percayalah jika kita dapat dirikan pemerintahan seperti ini (nilai-nilai Islam), banyak manafaat akan diperoleh antaranya kefahaman tentang ajaran Islam akan meningkat di samping masyarakat lebih bersedia menerima saranan pemerintahan," katanya ketika berucap di mesyuarat agung tahunan kebangsaan ke-48, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Setiausaha Agung Kehormat Perkim Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman.

Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Perkim sejak 2006, berkata apabila pemerintahan orang Islam dicemar dengan kebengisan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kurang kecekapan dan penindasan terhadap orang lain, maka persepsi orang lain terhadap agama Islam juga akan menjadi buruk.

"Hari ini tidak ada satu pun negara Islam yang boleh ditakrif sebagai negara maju di dunia ini. Sekali lagi ada yang berpendapat kemajuan negara Islam tidak penting.

"Tetapi kita tahu nasib buruk ramai negara Islam kerana mereka tidak maju. Mereka terpaksa mengemis, memintaminta bantuan daripada orang lain dan akibatnya mereka sering ditekan oleh orang yang membantu mereka yang mungkin sebenarnya musuh mereka," katanya.

Sebaliknya, kata beliau, kemajuan negara Islam akan menjana penghormatan kepada Islam dan segala ajarannya sebagaimana berlaku pada zaman tamadun kegemilangan Islam.

"Betapa pentingnya orang Islam berjaya dalam semua bidang, sosial, ekonomi, politik dan lainlain sebagai satu daripada cara menarik perhatian, menambahkan kefahaman dan kehormatan, bahkan menawan hati orang bukan Islam untuk mengenali agama Islam dan kebaikannya," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan