RM3.7 bilion untuk pertingkatkan pasukan keselamatan

Diterbitkan: Jumaat, 23 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM3.7 bilion akan diberikan kepada pasukan keselamatan bagi mempertingkatkan lagi kecekapan anggotanya termasuk menyediakan kelengkapan yang moden dan canggih.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sejumlah RM1 bilion akan disediakan untuk meningkatkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2010 bagi memastikan matlamat kerajaan untuk melaksanakan langkah mencegah jenayah yang dikenal pasti sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) terpenting negara.

"Kerajaan mensasarkan untuk mengurangkan indeks jenayah sebanyak lima peratus termasuk mengurangkan kadar jenayah jalanan seperti ragut dan samun sebanyak 20 peratus pada akhir 2010," katanya ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen hari ini.

Beliau berkata antara langkah yang diambil ialah dengan menyediakan balai polis bergerak di 50 "hot spots" yang dikenal pasti di kawasan berisiko tinggi bagi meningkatkan kehadiran anggota polis agar orang awam merasa yakin dan selamat.

Langkah lain ialah mempertingkatkan latihan dan kecekapan 3,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam untuk melakukan rondaan bersama polis serta meningkatkan kempen pencegahan jenayah dan melaksanakan program integrasi polis dalam komuniti masyarakat, katanya.

Najib berkata keselamatan sempadan negara juga turut diberi perhatian serius dengan menyediakan sejumlah RM1.9 bilion untuk meningkatkan kelengkapan anggota tentera serta membina dan menaik taraf pos kawalan.

Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) turut diberikan RM622 juta bagi memastikan kawasan perairan negara bebas daripada penyeludupan dan pencerobohan termasuk ancaman lanun, katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan