Kempen pakai tali pinggang keledar belakang gagal?

Diterbitkan: Jumaat, 23 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kesedaran tentang kewajipan penggunaan tali pinggang keledar belakang semakin menurun di kalangan pengguna jalan raya dan keadaan ini amat membimbangkan, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh.

Beliau berkata, kajian rambang JKJR bulan lepas menunjukkan penggunaan tali pinggang keledar belakang menurun secara drastik kepada 18 peratus berbanding 48 peratus pada Ogos lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Jalan Putra di sini hari ini, Suret menambah, pengguna jalan raya tidak harus bersikap ambil mudah tentang penggunaan tali pinggang yang mula dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun ini.

Penggunaan tali pinggang keledar belakang berupaya mengurangkan kadar kecelakaan jalan raya yang semakin meningkat terutamanya ketika musim perayaan, tambah beliau.

Katanya, JKJR akan mengadakan pemeriksaan secara mengejut di merata tempat bagi mengatasi masalah ini serta meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya tentang kepentingan penggunaan tali pinggang keledar belakang.

Sementara itu, Suret Singh juga berkata sistem brek dan jarak berhenti selamat diberi keutaman bagi kenderaan mengikut kelajuan.

Dalam pada itu, para pengguna kenderaan hendaklah memastikan sistem brek dalam keadaan stabil dengan menjalani pemeriksaan komponen brek bagi mengelakkan kegagalan sistem brek yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya, katanya.

Beliau juga menasihati semua pemilik kereta agar menjalani pemeriksaan komprehensif setahun sekali di bengkel kenderaan masing-masing bagi setiap 20,000 kilometer perjalanan bagi menjamin keselamatan ketika menggunakan jalan raya.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan