Siswazah aliran sastera patut jadi pejuang sastera - Saifuddin Abdullah

Diterbitkan: Rabu, 21 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa para siswazah aliran sastera menjadi pejuang sastera.

“Pembelajaran sastera meningkatkan kemahiran insaniah yang menggalakkan pemikiran kreatif dan etika kommunikasi,” katanya dalam satu sidang akhbar di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri satu majlis penyampaian hadiah yang dianjurkan oleh beberapa buah universiti awam untuk menggalakkan siswa-siswi meluahkan kritikan mereka terhadap karya-karya sastera negara. Ini merupakan kali kedua majlis seumpama itu diadakan dan lima buah Institusi Penggajian Tinggi Awam (IPTA) mengambil bahagian dalam peraduan tersebut.

Institusi-institusi tersebut ialah Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Malaya (UM); Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Akademi Seni Kebangsaan (Aswara).

Saifuddin juga mencadangkan agar pihak penganjur menghantar satu senarai kertas cadangan kepadanya untuk meningkatkan peruntukkan yang diberikan oleh kementeriaannya untuk menganjurkan majlis seumpama itu.

“Ini diharap akan menggalakkan lebih banyak lagi institusi-institusi penggajian tinggi menghantar peserta untuk pertandingan seperti ini,” ujarnya lagi.

Selain itu, Saifuddin juga menggalakkan institusi -institusi penggajian tinggi swasta untuk memberi ruang dan menggalakkan pelajar-pelajar mereka mengadakan aktiviti yang berkaitan dengan bidang kesusasteraan walaupun mereka bukan siswazah aliran itu.

Pada masa yang sama, Saifuddin berkata, bidang sastera dalam negara agak terpinggir kerana keutamaan kini lebih diberikan kepada bidang lain.

Sementara itu, pada majlis berkenaan para siswazah yang mengambil bahagian mengkritik novel-novel penulis tempatan seperti Naluri Hidayah, Suara Subaltern dalam Igau, Harga Sebuah Maruah, Panggil Aku Melayu, dan Phahara Kejiwaan Dalam Sangeetha.

Juara pertandingan tersebut, Nur Fatiha Fadila Abu Bakar pelajar dari Aswara, membawa pulang wang tunai RM 3,000.

Pemenang hadiah kedua Hasni Jamali dari UKM memenangi wang tunai sebanyak RM 2500, manakala Zulfazlan Jumrah dari UPM yang mendapat tempat ketiga memperolehi wang tunai sebanyak RM 2000.

Mereka bertiga juga turut membawa pulang sebuah hamper, buku dan segulung sijil penghargaan.

Hadiah saguhati dimenangi oleh Mohd Azrein Abbas dari UPSI dan Roziah Adama dari Aswara. Masing-masing memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 800, sebuah buku dan segulung sijil penghargaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan