Kerajaan digesa pinda perlembagaan perjelas kedudukan status negara

Diterbitkan: Rabu, 21 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa segera meminda beberapa Artikel dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memperjelaskan beberapa isu termasuk soal status negara yang mengamalkan dwisistem (sistem perundangan hybrid) dan bukannya sebuah negara sekular sebagaimana yang didakwa beberapa pihak.

Pindaan ke atas Perlembagaan juga perlu dibuat bagi mewujudkan garis perbezaan antara Perlembagaan sebagai undang-undang utama Persekutuan dengan pelaksanaan undang-undang dan syariat Islam.

Desakan itu antara 24 senarai rang undang-undang persendirian yang dikemukakan anggota Parlimen Bandar Baru Kulim, Zulkifli Noordin yang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat yang sedang bersidang.

Zulkifli berkata, Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi memastikan fakta-fakta mengenai kedudukan agama Islam tidak lagi diputar belit dan disalah tafsir oleh golongan tertentu untuk memberi gambaran kononnya Malaysia adalah negara sekular.

Untuk itu ayam sabung PKR tersebut menyarankan supaya perkataan "Islam adalah agama bagi Persekutuan termasuk dari segi undang-undang dan syariatnya" ditambah bagi menepis keraguan mengenai perihal kedudukan status negara.

"Hakikatnya Malaysia bukanlah negara sekular sebaliknya negara yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, maka dengan pindaan kepada Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan seperti yang dicadangkan akan memperjelaskan perihal kedudukan status negara ini tanpa sebarang keraguan lagi," katanya.

Beliau berkata Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan pula perlu dipinda bagi menambah perkataan "Perlembagaan adalah undang-undang utama Persekutuan dan kecuali undang-undang dan syariat Islam, apa-apa undang-undang yang diluluskan berlawanan dengannya hendaklah terbatal setakat ia berlawanan itu".

"Dewan perlu mengambil maklum bahawa banyak keadaan di mana hukum syarak' syariat Islam telah terbatal dan atau tidak dapat dilaksanakan kerana Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan ini yang meletakkan undang-undang negara mengatasi semua undang-undang dan peraturan lain.

"Ini termasuk undang-undang serta syariat Islam seperti pengharaman pemakaian serban di sekolah-sekolah kebangsaan, pemakaian purdah dan jilbab di jabatan-jabatan kerajaan, pelaksanaan undangundang syarak seperti khalwat, zina, qazaf yang bercanggah dengan hukum syarak dan lain-lain," kata Zulkifli.

Turut dicadang untuk dipinda ialah Artikel 11 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai soal pertukaran agama bagi orang Islam.

Dalam perkara itu, Zulkifli mencadangkan untuk memasukkan perkataan "termasuk menukar agamanya kecuali bagi penganut agama Islam yang hendaklah tertakluk kepada undang-undang dan syariat Islam. Bagi maksud penganut agama Islam, soal kemasukan dan kemurtadan dari agama Islam, soal kemasukan dan kemurtadan dari agama Islam hendaklah ditentukan oleh Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa mutlak ke atasnya".

Selain itu Zulkifli turut mengemukakan rang undang-undang peribadi untuk menggesa kerajaan melaksanakan undang-undang untuk melarang dan memberi syarat bagi penjualan arak dan kondom di kedai-kedai serbanika termasuk SevenElevan (711) dan KK Mart.

"Banyak kes yang terjadi di mana remaja dan belia Melayu beragama Islam yang menyalahgunakan penjualan arak dan minuman beralkohol serta kemudahan kondom di kedai-kedai serbaneka ini untuk kegiatan tidak berakhlak dan bermoral," katanya.

Dalam cadangan berbeza, Zulkifli turut mendesak Kementerian Dalam Negeri supaya segera mengadakan siasatan terhadap Sisters In Islam (SIs) kerana aktivitinya dikhuatiri bertentangan dengan syariat Islam.

Sehubungan itu beliau mendesak kementerian menyiasat bagaimana kumpulan itu dibenarkan menggunakan label 'Islam' sedangkan nama pendaftarannya tidak tercatat sedemikian.

Beliau mendakwa kumpulan tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROs) sebaliknya didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia dengan nama SiS Forum Malaysia Sdn Bhd.

Kementerian juga digesa menyiasat sumber dana kumpulan itu kerana didakwa mendapat bantuan dana dan pembiayaan antaranya daripada pertubuhan bukan Islam seperti Yayasan Rockfeller dari Amerika Syarikat dan Konrad Adreneur dari Jerman.

Semalam soalan mengenai isu SIS yang dikemukakan oleh Zulkifli tersenarai sebagai soalan ke10 sesi soal jawab lisan, tetapi tidak sempat diutarakan berdasarkan faktor masa.

Zulkifli dalam soalannya ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk merujuk SIS kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dan sama ada kerajaan bercadang melarang mereka menggunakan perkataan Islam pada nama mereka memandangkan ia didaftarkan tanpa label Islam.

Beliau yang ditemui di lobi Parlimen berkata kesemua usul berkenaan telah dikemukakan kepada Dewan Rakyat pada 17 Sept lepas dan berharap kesemua rang undang-undang yang dikemukakan berpeluang dibahaskan anggota Dewan Rakyat, khasnya berkaitan isu SIS.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen, semua usul dan rang undang-undang persendirian hanya akan dikemukakan dalam dewan setelah kesemua urusan kerajaan diselesaikan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan