Arena Nicol David, penghargaan kerajaan terhadap pencapaian Ratu Skuasy Negara

Diterbitkan: Rabu, 21 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David, semalam, menerima penghargaan paling bernilai dalam hidupnya apabila Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil di sini ditukar nama kepada "Arena Nicol David."

Pertukaran nama tersebut adalah sebagai penghargaan kerajaan terhadap sumbangan Nicol dalam mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Nama baru gelanggang skuasy utama itu, yang terletak dalam kawasan Kompleks Sukan Negara, dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dalam majlis sederhana tetapi penuh bermakna itu.

Acara perasmian nama baru itu telah mengundang linangan air mata dari ratu skuasy berusia 26 tahun itu yang terharu dengan penghargaan yang diberikan kepadanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Datuk Razali Ibrahim, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar serta ibu bapa Nicol.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Ahmad Shabery berkata langkah itu adalah untuk mengabadikan sumbangan Nicol yang muncul sebagai pemain nombor satu dunia.

"Apabila kita memberikan nama khas kepada sesuatu gelanggang sukan, ia bukan sahaja memberi penghargaan yang tidak terhingga dan ternilai kepada Nicol tetapi satu kaedah untuk membakar semangat warga atlet dan golongan anak muda," katanya.

Pada 1 Okt lepas, Ahmad Shabery mengumumkan bahawa Kabinet menerima cadangan Kementerian Belia dan Sukan supaya kemudahan sukan dinamakan mengikut nama atlet kebangsaan yang telah menaikkan dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Selain merasmikan nama baru gelanggang itu, Ahmad Shabery juga turut merasmikan galeri mini Nicol David yang memaparkan koleksi trofi dan pingat yang pernah dimenanginya.

Pada majlis yang sama juga, Ahmad Shabery turut menyampaikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) berjumlah RM20,000 kepada Nicol yang berjaya mengekalkan kejuaraan dunia buat kali keempat di Amsterdam, Belanda, bulan lepas.

Turut menerima insentif Shakam ialah pemain skuasy lelaki Ivan Yuen yang memerima imbuhan berjumlah RM29,375.

Ivan berjaya merangkul emas acara individu dan berpasukan pada Kejohanan Remaja Asia ke-14 (1623 Jan) dan pingat perak acara individu pada Kejohanan Remaja Dunia Ogos lalu.

Sementara itu, Nicol berkata: "Adalah terlalu besar bahawa gelanggang itu diberikan nama saya. Saya masih terkejut ketika ini dengan penghormatan ini.

"Penghargaan ini amat bermakna bagi diri saya dan sesuatu yang tidak pernah saya mimpikan," katanya kepada pemberita bila ditanya perasaannya.

Nicol, anak kelahiran Pulau Pinang itu, menyifatkan pencapaiannya dalam sukan itu sehingga ini adalah atas sokongan kementerian dan Majlis Sukan Negara. BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan