Liow buat laporan polis berhubung dakwaan di Internet

Diterbitkan: Selasa, 20 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam membuat laporan polis terhadap dakwaan yang kononnya isterinya Datin Seri Lee Su Loo menerima kenderaan pelbagai guna (MPV) daripada sebuah syarikat yang sentiasa terbabit dalam projek kementerian itu.

Liow yang menafikan dakwaan tersebut berkata laporan yang disiarkan di internet itu tidak berasas dan disiarkan oleh mereka yang mempunyai niat jahat untuk memburukkan nama baik beliau dan keluarganya.

Timbalan Presiden MCA itu dalam satu kenyataan di sini berkata beliau juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap yang mereka yang bertindak untuk memburukkan nama baiknya.

Beliau berharap pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat laporan itu secara menyeluruh dan dengan secepat mungkin.

"Saya akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya mengenai perkara ini," katanya yang turut melahirkan rasa dukacita mengenai perkara tersebut.

Kelmarin satu laporan polis dibuat oleh Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul berhubung satu artikel yang disiarkan dalam satu laman web yang mendakwa pembelian sebuah MPV mewah bernilai RM574,884.10 untuk isteri seorang menteri.

Artikel yang bertarikh 14 Okt itu menyebut, pembiayaan pembelian MPV itu dibuat oleh sebuah syarikat dengan menggunakan dua cek bernilai RM324,884.10 dan RM9,299.90 kepada pengedar dan penjual kenderaan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed semalam mengesahkan polis telah merujuk kes itu kepada SPRM dan suruhanjaya itu sedang mengkajinya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan