Faktor keselamatan punca pelajar Universiti Andalas mahu teruskan pengajian di IPTS

Diterbitkan: Selasa, 20 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pelajar perubatan keempat,Vandana Gopinath.Foto THE STAR Oleh: BRIAN MOH.
Pelajar perubatan keempat,Vandana Gopinath.Foto THE STAR Oleh: BRIAN MOH.

SERDANG: Sebahagian besar daripada 313 pelajar yang menuntut di Universiti Andalas (Unand), Padang, Sumatera Barat yang terjejas teruk akibat gempa bumi beberapa minggu lalu berhasrat untuk meneruskan pengajian mereka di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini.

Tinjauan mStar Online ketika sesi taklimat khas kepada pelajar-pelajar tersebut di Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) pagi semalam mendapati majoriti pelajar terbabit enggan pulang ke Padang untuk meneruskan pengajian mereka di sana atas faktor keselamatan.

Salah seorang daripada mereka ialah Vandana Gopinath, 23, pelajar perubatan tahun 4 daripada universiti terbabit berkata dia mahu meneruskan pengajian di sini kerana faktor keselamatan dirinya lebih penting pada ketika ini.

“Saya hanya ada enam bulan lagi untuk habiskan pengajian, jadi saya tak mahu buat keputusan yang salah dalam hal ini. Saya sangat berharap saya dapat membuat latihan amali (klinikal) di sini.

“Namun saya difahamkan agak sukar untuk membuat pemindahan kredit kerana sukatan pelajaran perubatan di Unand dan IPTS di negara ini agak berbeza.Tapi saya yakin kerajaan telah memberikan jalan penyelesaian yang terbaik kepada kami dalam hal ini. Kita harap pihak kerajaan dapat membantu dalam soal ini,” katanya.

Sementara itu, bagi pelajar kursus farmasi tahun kedua, Ritabanigandhi Thangaraju, 23, kesan trauma akibat kejadian gempa yang berlaku menyebabkan dia tidak mahu lagi meneruskan pengajian di universiti tersebut.

“Saya mahu menyambung pengajian di sini. Saya tak mahu balik ke sana (Padang) lagi. Keadaan di sana tak selamat bagi kami, kami masih trauma dengan kejadian gempa itu,” katanya.

Menurut Ritabanigandhi, dia telah mengisi borang untuk menyambung pelajaran di MSU dan UCSI namun mereka perlu menunggu pihak IPTS terbabit memanggil mereka untuk tindakan selanjutnya.

“Bagi pelajar kursus farmasi, kami tidak mempunyai banyak pilihan, ini kerana hanya lima daripada sembilan IPTS yang ada pada hari ini menawarkan kursus farmasi.

Ditanya mengapa dia membuat keputusan untuk meneruskan pengajian di negara ini, berkata: “Jika hendak dibandingkan soal keselamatan dan kewangan saya pilih keselamatan walaupun terpaksa menanggung sedikit kerugian kerana ibu bapa telah membayar yuran kami untuk semester ini."

“Saya akan mohon untuk pinjaman daripada pihak PTPTN, kerana kos pengajian di Unand agak murah jika dibandingkan dengan kos pengajian kursus farmasi di sini. Kos tersebut terlalu tinggi dan keluarga kami tidak mampu,” katanya.

Bagi pelajar bidang perubatan tahun 4, Nur Diana Abdul Halim, 23, pula dia masih belum membuat keputusan berhubung tempat untuk menyambung pengajiannya pada ketika ini.

Menurutnya, banyak perkara perlu dipertimbangkan secara serius dalam hal tersebut.

“Saya masih belum putuskan sama ada nak sambung pengajian di sana (Unand) atau sambung pengajian di IPTS. Saya masih tercari-cari pilihan terbaik. Keluarga pun beri kebebasan untuk saya pilih sama ada nak sambung belajar di sana (Unand) atau di sini.

“Soal yuran pun saya kena fikir betul-betul kerana ibu bapa dah bayar yuran pengajian di sana, kalau di sini PTPTN pun boleh memberikan pinjaman, saya masih belum boleh buat keputusan, semuanya masih 50-50,” katanya.

Sementara itu, bagi, Fatimah Al-Zahra, 22, pelajar perubatan tahun 3 keputusan untuk meneruskan pengajian di IPTS merupakan keputusan terbaik untuk dirinya pada ketika ini.

“Saya memang nak teruskan pengajian di sini. Tekanan belajar di sana juga agak kuat jadi saya rasa lebih baik belajar di sini lagi pun keluarga mahu saya sambung pengajian di sini.

“Saya tak kisah jika terpaksa membayar semula yuran pengajian untuk belajar di IPTS di sini,” katanya.

Bagi, Senthilkumar Balasundaram, 19, pelajar tahun 1 kursus perubatan di Unand, dia mahu segera memulakan sesi pengajiannya di IPTS di negara ini.

“Saya hanya mahu pulang dan ambil barang-barang serta buku-buku saya di sana. Kalau diberi pilihan saya hendak belajar di Kolej Mahsa. Setakat ini pihak mereka (Mahsa) kata mereka akan mengambil kami untuk belajar di sana tanpa sebarang syarat namun mereka perlu mendapatkan butiran peribadi dan keputusan peperiksaan serta sijil-sijil untuk proses pendaftaran terlebih dahulu,” katanya.

Jelasnya, mereka akan dipanggil mula menyambung pengajian di universiti tersebut sebaik sahaja semua butiran peribadi dan keputusan mereka diperolehi.

“Saya berharap pihak kerajaan dapat memberi biasiswa kepada kami untuk meneruskan pengajian di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Zulaikha Ismail, 22, pelajar perubatan tahun keempat berkata keadaan universiti yang musnah teruk akibat gempa bumi memaksa dia memilih untuk menyambung pengajian di IPTS di negara ini.

“Kalau sambung pengajian di sini soal pemindahan kredit jadi masalah, kerana sukatan pelajaran di Unand tak sama dengan IPTS di sini. Mungkin kami kena mula balik dari tahun 3 walaupun ada rasa sedikit kesal, tapi kalau ada peluang nak teruskan pengajian di sini, saya memang nak belajar di sini,” katanya.

Jelasnya, pihak IPTS di sini turut mengenakan syarat tertentu seperti menduduki peperiksaan khas sebelum mereka diterima masuk ke IPTS terbabit.

“Pihak IPTS kata mereka akan buat peperiksaan khas itu minggu depan, setakat ini saya kena bincang dulu dengan keluarga, jika mereka mahu saya teruskan pengajian di sini atau kembali ke Padang saya ikut sahaja,” katanya.

Namun bagi S. Nagarajen Naidu, 21, pelajar tahun ketiga kursus perubatan ini dia tetap mahu meneruskan pengajiannya di Padang.

“Saya nak balik ke Padang dulu, lihat situasi di sana macam mana. Dalam masa yang sama, saya akan mohon untuk sambung pengajian di sini. Kita perlu lihat apa tindakan selanjutnya yang diberikan oleh pihak Unand.

“Keluarga juga beri kebebasan kepada saya untuk buat pilihan dalam hal ini. Saya sangat berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana banyak membantu kami dalam mencari jalan penyelesaian berhubung perkara ini,” katanya.

Bagi Nur Syalia Mohd Hatta, 23, pelajar tahun kelima, dia masih dalam ragu-ragu dalam membuat keputusan mengenai soal penempatan semula pengajiannya.

“Hospital yang merupakan tempat kami buat latihan amali ranap teruk masa gempa bumi. Jadi saya sedang buat penilaian sama ada nak teruskan pengajian di sana atau sambung pengajian di sini.

“Cuma kami perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak Unand dalam soal pemindahan kredit, kerana latihan klinikal penting untuk kursus perubatan,” katanya.

Rabu lalu, Kabinet telah membuat keputusan untuk menasihati pelajar-pelajar tahun satu, dua dan tiga pengajian perubatan di Unand supaya meneruskan pengajian mereka di IPTS tempatan. Manakala pelajar-pelajar tahun empat dan lima dan mereka yang sedang menjalani latihan klinikal pula dinasihati supaya menamatkan pengajian mereka di Unand.

Keseluruhannya terdapat 313 pelajar perubatan Malaysia di Unand. Daripada jumlah itu, 16 penuntut sedang mengikuti kursus asasi, tahun pertama (45), tahun kedua (44), tahun ketiga (65), tahun keempat (53), tahun kelima (55) dan klinikal (35).

Sesi temuduga tersebut diadakan pagi tadi bermula pada pukul 11 pagi dengan kelolaan Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia (JPT) dengan kerjasama IPTS.

Antara IPTS yang bersetuju untuk menerima pelajar-pelajar Malaysia di Unand ialah International Medical University (IMU), Allianze College of Medical Sciences, University College Sedaya International (USCI), UniKL-Perak Royal College of Medicine, Kolej Universiti Mahsa, Management and Science University (MSU), Melaka Manipal Medical College dan Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan