ADUN Seri Kembangan enggan ikuti sesi penilaian psikiatri

Diterbitkan: Selasa, 20 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat Seri Kembangan Ean Yong Hiah Wah dan ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Tan Boon Wah mengikuti jejak langkah anggota keluarga mendiang Teoh Beng Hock dengan enggan menjalani tembual penilaian psikiatri yang dijadual di Hospital Selayang, dekat sini, hari ini.

Mereka enggan berbuat demikian berikutan peguam mereka tidak dibenarkan menemani mereka semasa proses penilaian dijalankan untuk menentukan tahap mental mendiang Teoh.

Peguam Tiew Way Keng, yang hadir di hospital berkenaan, berkata Ean dan Tan diarah oleh polis menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) minggu lepas untuk menjalani tembual itu antara pukul 3 hingga 5 petang hari ini.

Selain mereka, dua lagi diminta untuk menghadiri sesi temubual iaitu setiausaha peribadi Hiew Kim Boom dan pembantu peribadi ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Mandy Ooi Haw Voon.

"Kesemua empat anak guam saya memutuskan untuk tidak menghadiri sesi temubual itu kerana saya tidak dibenarkan menemani mereka. Kenapa saya tidak dibenarkan berada di sisi mereka semasa ditemubual? Apakah agenda disebaliknya?, tanyanya kepada pemberita di hospital itu.

Pada 2 Okt lalu, Koroner Azmil Muntapha Abas, yang mengendalikan inkues kematian Teoh, membenarkan anggota keluarga sertaa beberapa orang lain ditemubual oleh dua pakar psikiatri.

Bagaimanapun, Ean memberitahu pemberita bahawa Azmil Muntapha tidak menyatakan sama ada peguam mereka boleh hadir ketika temubual itu dijalankan.

"Saya rasa kesal dan hairan tentang temubual ini. Kenapa temubual mengenai penilaian psikiatri?," katanya.

Sebelum ini, ahli keluarga mendiang Teoh iaitu bapanya, Teoh Leong Hwee, ibunya Teng Shuw Hoi, abangnya Teoh Meng Kee dan tunang mendiang, Soh Cher Wei, enggan mengikuti temubual itu kerana peguam mereka tidak dibenarkan menemani mereka dalam sesi tersebut.

Pada 16 Julai lalu, Teoh, setiausaha politik kepada Ean, ditemui mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri di tingkat 14 bangunan yang sama. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan