Jawatankuasa Pusat MCA bincang kekosongan Naib Presiden - Liow

Diterbitkan: Isnin, 19 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini berkata kekosongan jawatan naib presiden hanya akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Pusat MCA pada mesyuarat akan datang.

"Ia (jawatan naib presiden) perlu dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Pusat. Kita tak tahu bila Jawatankuasa MCA akan bermesyuarat dan kita tunggulah dalam mesyuarat yang akan datang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Liow, yang juga Menteri Kesihatan, dilantik oleh jawatankuasa itu bagi menggantikan penyandangnya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek selepas perwakilan yang bersidang pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) 10 Okt lepas menolak usul mengembalikan jawatan Dr Chua sebagai Timbalan Presiden dan hanya meluluskan usul menerima kembali Dr Chua dalam MCA.

Mengenai jalan penyelesaian MCA mengatasi kemelut parti itu, Liow berkata beliau dan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat kini sering mengadakan siri perbincangan menerusi telefon ekoran daripada kesibukan kedua-dua pemimpin itu bagi mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.

"Saya dah usahakan dengan bercakap menerusi telefon dan kita sedia untuk duduk berbincang untuk masa depan parti, kepentingan parti, perpaduan parti. Saya tak boleh bagi tempoh masa (penyelesaian dapat dicapai) tapi kita tahu rakyat memberikan harapan tinggi pada kita, pada MCA dan kita kena cepat kembali bekerja dan selesaikan masalah kita.

"Kita sedia duduk berbincang untuk mencari jalan penyelesaian yang besar kepada parti. Jadi dengan ini kita boleh menstabilkan parti seperti mana yang dimahukan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya parti komponen menjadi kuat," katanya.

Liow berkata tugasnya selaku timbalan presiden bukan hanya untuk membantu memperkuatkan parti malah untuk memastikan perpaduan parti kembali kukuh.

"Saya nak semua anggota kembali bekerjasama dan pastikan parti ini dihormati oleh masyarakat Cina dan juga rakyat. Kita kena cepat turun bekerja kerana kita banyak agenda yang perlu dilakukan," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng dari DAP berhubung isterinya Datin Seri Lee Su Loo, yang dihadiahkan sebuah Toyota Alphard berharga hampir RM600,000 pada hari jadinya pada Januari lepas daripada syarikat binaan Axis Construction Sdn Bhd (ACSB), Liow berkata dakwaan itu bertujuan untuk membunuh karektor politiknya.

"Semua itu tidak berasas. Ini permainan politik dan saya nak katakan yang mereka cuba nak tarik keluarga saya ke dalam (kemelut politik). Semua tahu parti saya ada sedikit masalah dan kita sekarang banyak kerja yang perlu dilakukan. Jadi saya harap janganlah gunakan taktik sebegini," katanya.

Liow bagaimanapun menegaskan akan memberikan kerjasama penuh kepada polis terhadap tuduhan yang dibuat oleh anggota parlimen pembangkang itu.

"Saya akan beri kerjasama penuh kepada polis. Saya pun nak tahu juga yang sebenarnya kerana ia satu yang boleh dikatakan bertujuan untuk membunuh karektor politik seseorang. Kita rasa perkara ini amat jahat tujuannya," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan