1Malaysia perjuangan berterusan untuk keadilan sosial, kata PM

Diterbitkan: Isnin, 19 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Gagasan 1Malaysia bukan satu perkara yang retorik dan gimik politik atau hanya slogan semata-mata tetapi ia adalah satu perjuangan untuk berlaku adil kepada setiap rakyat, merentasi batas kaum dan agama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata di bawah gagasan 1Malaysia itu, terkandung prinsip keadilan sosial yang akan terus diperjuangkan.

"Apabila melihat salah satu prinsipnya iaitu prinsip keadilan sosial, mesti berlaku adil, supaya adil kepada orang Melayu yang mana patut diperjuangkan untuk orang Melayu, yang mana perlu beri kepada orang Cina kita beri, yang mana perlu diberi kepada orang India kita bagi.

"Jangan ada mana-mana kelompok dalam masyarakat yang rasa dia terpinggir daripada kerajaan, tidak dapat bantuan daripada kerajaan," katanya ketika berucap melancarkan program '1Malaysia Bersama Rakyat Negeri Perak' di Stadium Perak di sini malam semalam.

Beliau juga berkata hasrat besar kerajaan di bawah model ekonomi baru untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi memerlukan kemahiran dan kepakaran semua kaum dengan semangat 1Malaysia.

Najib berkata untuk menjayakan hasrat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi setanding negara maju lain di dunia, semua kaum di Malaysia tidak boleh melihat hanya dari sudut kaum tertentu sahaja.

"Kita bercita-cita besar untuk membawa negara kepada satu lagi peringkat transformasi yang lebih besar, Malaysia tidak mahu kekal sebagai negara berpendapatan pertengahan, hasrat kita mahu jadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi untuk bersama-sama negara maju yang lain.

"Untuk itu perlukan kemahiran dari semua kaum, perlukan kepakaran dari semua kaum. Kita perlu semua kaum melihat bukan dari sudut kaum masing-masing tetapi melihat berkenaan negara Malaysia," katanya.

Perdana Menteri berkata gagasan 1Malaysia juga adalah pendekatan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 bagi membina sebuah negara bangsa Malaysia.

Katanya matlamat melahirkan bangsa Malaysia bukan bererti setiap rakyat merasai dirinya lebih Melayu, Cina atau India sebaliknya seluruh rakyat perlu menerima kepelbagaian itu sebagai satu kekuatan untuk membina negara bangsa.

"Kita terima kepelbagaian itu sebagai satu kekuatan, sebagai sesuatu yang baik untuk kita. Kita bukan gunakan toleransi sahaja kerana kalau toleransi sahaja, kita tidak akan senang hati dengan konsep 1Malaysia, itu sebab perlu melihat kepelbagaian itu sebuah kekuatan," katanya.

Najib berkata gagasan 1Malaysia bukan bermakna mengambil hak sesuatu kaum dan diberi kepada kaum yang lain, sebaliknya setiap peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan permuafakatan antara kaum akan dipertahankan.

"Gagasan 1Malaysia adalah berlandaskan perlembagaan negara dan permuafakakan antara kaum namun, kita mampu berlaku adil kepada semua kaum," katanya.

Beliau berkata sehingga hari ini, gagasan 1Malaysia yang dicetuskannya diterima baik oleh seluruh rakyat pelbagai kaum dan agama dan mereka merasa wujudnya 'sense of belonging' kepada negara.

"Sekarang bila sebut 1Malaysia, setiap rakyat merasai 'sense of belonging'. Selama ini jika kita sebut bumiputera ada juga yang rasa itu bukan 'sense of belonging', bila sebut 1Malaysia kita adalah satu keluarga yang lebih besar," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan