Zahid kesal pembangkang memanipulasi undi pos

Diterbitkan: Sabtu, 17 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Merungkai semula kemenangan yang berpihak kepada Barisan Nasional semasa pilihan raya kecil Bagan Pinang baru-baru ini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menyimpulkan pihak pembangkang telah memanipulasi pilihan raya itu.

“Sebagai rakyat yang dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri, saya amat tersinggung dengan pihak pembangkang yang mengatakan undi pos adalah ‘politik tipu’.

“Di Bagan Pinang, pembangkang telah mempertikaikan undi pos di mana daripada 4,604 undi pos, sebenarnya Barisan Nasional memenangi 3,501 undi dengan 84.4 peratus undi pos tentera berpihak kepada Tan Sri Isa Samad.

“Tetapi jangan lupa, terdapat 601 undi pos di kalangan tentera bersamaan dengan 14.4 peratus telah mengundi Pas.

“49 undi rosak, saya tak tahu apa jenis undi rosak ni. 433 undi tidak dikembalikan..,” katanya ketika menyampaikan ucapan itu.

Jelas ahli Parlimen Bagan Datoh ini, “SPR tidak pernah tipu tapi pembangkang yang manipulasikan kerana mereka tidak ada modal lagi dan ketika pihak pembangkang menuduh pihak tentera seperti ‘kerbau dicucuk hidung’ adalah penghinaan kepada pihak tentera.”

Beliau turut memberi amaran kepada pembangkang daripada menipu rakyat.

Katanya, “Mana munasabah 10 pengundi Cina guna alamat rumah orang Melayu.

“Saya minta SPR bertindak dan nak ingatkan pembangkang, kalau nak tipu pun biarlah cerdik sedikit.”

Zahid juga menyimpan azam untuk mengembalikan kegemilangan Barisan Nasional semasa PRU 13 nanti.

“Kita perlu memperkukuhkan kerusi-kerusi yang telah dimenangi dan kita rebut semula kerusi-kerusi yang telah terlepas.

“Oleh itu, kita akan menganjurkan kursus-kursus di 191 bahagian di seluruh negara. Matlamatnya adalah untuk menang besar dalam PRU 13,” katanya lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan