Jakarta digoncang gempa lagi, berukuran 6.4 skala Richter

Diterbitkan: Jumaat, 16 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Puluhan ribu pekerja di bangunan tinggi di Jakarta panik dan lari bertempiaran ke jalan-jalan raya setelah merasakan gegaran gempa bumi kuat selama beberapa saat yang didapati berukuran 6.4 pada skala Richter di Banten, Pulau Jawa.

Mereka yang masih trauma dengan pelbagai berita mengenai kemungkinan gempa berkekuatan sehingga 8.8 skala Richter yang dikatakan akan berlaku selepas gempa 7.9 skala Richter di Sumatera Barat pada 30 Sept lepas, mengaku sangat khuatir.

"Kita lagi trauma dan takut gempa yang besar itu tiba-tiba terasa gempa lagi. Saya bergegas turun tangga selepas melihat almari di pejabat saya jatuh dan saya juga tiba-tiba jatuh terduduk," kata Abrizal kepada Bernama ketika ditemui sedang berkumpul dengan ratusan pekerja lain di bawah Wisma Antara di sini.

Ramai pekerja lain juga mengakui mereka terjatuh terutama yang berada di tingkat lima ke atas sebelum sempat bangun dan lari menyelamatkan diri.

Maklumat sebenar gempa belum diperoleh.

Di KUALA LUMPUR, Jabatan Perkhidmatan Meteorologi menyatakan satu gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter melanda Selat Sunda pada pukul 5.52 petang hari ini.

Pusat gempa bumi ialah pada 176km barat daya Bandar Lampung, Indonesia dan 942km tenggara Johor Bahru, menurut jabatan itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun gempa bumi itu tidak mewujudkan ancaman tsunami kepada Malaysia. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan