Syarat minimum perlu untuk bertanding jawatan tertinggi parti, kata Najib

Diterbitkan: Khamis, 15 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata syarat minimum diperlukan untuk bertanding jawatan tertinggi parti selepas sistem kuota dihapuskan.

Perdana Menteri berkata sebagai contoh, calon untuk bertanding jawatan di peringkat bahagian perlu menjadi anggota parti selama tiga tahun dan bagi jawatan tertinggi parti, termasuk Presiden, perlu menjadi anggota jawatankuasa bahagian selama sepenggal.

"Ada syarat tapi paling minima. Macam mana pun tengoklah esok (hari ini)... apapun kita akan bentang dan disahkan perhimpunan agung (khas) tapi kuota tiada," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno mengenai pindaan perlembagaan parti di Menara Dato' Onn di sini malam semalam.

Perdana Menteri juga berharap pindaan perlembagaan yang mengandungi tujuh cadangan bertujuan menjadikan Umno lebih telus, terbuka dan demokratik itu akan diterima perwakilan yang bersidang hari ini.

Beliau berkata ini kerana cadangan itu dikaji secara mendalam di semua peringkat.

Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan membentangkan pindaan itu untuk diperdebatkan dan disahkan oleh perwakilan hari ini, kata Najib. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan