Najib: Umno bukan parti perkauman

Diterbitkan: Khamis, 15 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak membidas pihak-pihak tertentu yang menyifatkan Umno sebagai sebuah parti perkauman sebaliknya menegaskan parti itu sentiasa mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum.

Jelasnya Umno yang ditunjangi orang Melayu mempunyai sifat yang amat inklusif dan merangkumi.

"Kalaulah ada mana-mana pihak yang tanpa usul periksa, menempelak Umno sebagai sebuah parti perkauman harus terlebih dahulu mencermin diri secara ikhlas.

"Mereka harus sedar akan realiti komposisi kaum dalam parti mereka sendiri, adakah ia benar-benar melambangkan keterbukaan yang mereka jerit dan laung-laungkan?" katanya.

Sebaliknya beliau menegaskan jika benar Umno mengamalkan budaya perkauman seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak-pihak berkenaan, tidak mungkin orang Melayu akan bertolak ansur dalam banyak perkara melibatkan kaum-kaum lain yang terdapat di negara ini.

"Jika betullah orang Melayu rasis bagai didakwa, tidak mungkin kita bersifat amat bertolak ansur terhadap budaya etnik-etnik lain seperti yang diamalkan, tak mungkin juga kita benarkan sekolah-sekolah aliran kebangsaan diwujudkan, bahkan mustahil pula untuk bekerjasama dengan begitu akrab bersama-sama parti komponen lain dalam Barisan Nasional sejak berdekad lamanya.

"Oleh itu, kepada pihak-pihak tertentu, janganlah angkuh mengaku, bahawa merekalah kononnya, sebuah parti pelbagai kaum yang mempunyai keabsahan moral dan keikhlasan intelektual untuk memimpin rakyat di negara ini," katanya.

Dalam ucapan dasar sulungnya sebagai Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2009 hari ini, Najib turut menegaskan kejayaan Barisan Nasional (BN) yang diwakili Umno pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang lalu dengan majoriti yang besar menunjukkan masih diterima oleh rakyat.

"Sememangnya kejayaan ini membenarkan hakikat bahawa Umno masih merupakan parti pilihan orang Melayu dan Umno masih merupakan parti pilihan rakyat.

"Ini membuktikan juga bahawa rakyat tempatan dari semua kaum dan semua lapisan telah menyuarakan keinginan mereka dengan jelas untuk terus berlindung di bawah naungan BN," katanya.

Bagaimanapun Perdana Menteri mengingatkan supaya Umno dan BN menerima kemenangan berkenaan dengan rasa rendah hati.

"Kita harus menerima kemenangan ini dengan tenang, penuh tawadhuk dan rasa kerendahan hati.

"Kita tidak boleh mudah berasa selesa atau lega bahawa kita menjadi parti pilihan rakyat, hanya kerana tiada parti lain yang boleh diharapkan, atau dengan kata lainnya, yang terbaik antara yang buruk.

"Di Bagan Pinang, kita dapati orang-orang bukan Melayu menerima Umno dengan hati yang terbuka dan apa yang penting di kawasan pilihan raya yang pengundinya terdiri daripada masyarakat majmuk seperti ini, kita mahukan Umno diterima rakyat sebagai sebuah parti yang memperjuangkan bukan sahaja untung nasib Melayu dan Bumiputera akan tetapi menjangkau semua kumpulan etnik di Malaysia," tegasnya.

Katanya lagi Umno perlu dilihat sebagai sebuah parti yang terbuka dari segi pendekatannya.

"Umno perlu dipilih atas sebab parti kita adalah yang terbaik, sama ada dari sudut organisasi, gerak kerja, matlamat, ataupun sistem nilai yang mendasari pertubuhan ini.

"Kalau inilah resipi kejayaan kita baru-baru ini di Bagan Pinang, yang telah meraih majoriti besar, maka saya yakin dan percaya dengan menggunapakai ramuan ini di tempat-tempat lain pun selepas ini, kita akan menikmati kejayaan yang sama atau lebih besar lagi, insyaAllah," katanya.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan