Mahathir: Najib sudah sedia pulihkan Umno

Diterbitkan: Khamis, 15 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ KUALA LUMPUR: Kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dinanti-nantikan sehingga menarik ramai pihak termasuk pihak media untuk berpusu-pusu mendapatkan mantan Perdana Menteri keempat itu.

Sehingga berlaku sedikit huru-hara ketika mereka berebut-rebut untuk mendapatkan temuramah dengannya.

Kira-kira 200 wartawan dan jurugambar terpaksa ‘bertolak-tolak’ sehingga ada seorang jurugambar stesen televisyen mengetuk banyak kali kepala ahli Rela yang bertugas dengan kameranya.

Aksi yang tidak ingin dilihat itu menimbulkan sedikit kekecohan sehinggalah episod tolak-menolak itu berakhir setelah Dr Mahathir bergerak ke bilik sidang media. Itupun setelah para wartawan menunggu hampir setengah jam.

Sebelum sidang media dilakukan, Dr Mahathir yang mesra disapa ‘Tun’ itu bertanya: "Kenapa nak temubual saya? Saya bukannya perdana menteri. Oklah, nak tanya, tanyalah.."

Lantas, ketika diminta mengulas tentang ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, Dr Mahathir memuji ucapan perdana menteri itu.

"Ucapannya bersemangat dan saya fikir beliau sudah bersedia untuk menghadapi masalah yang dihadapi oleh Umno dan beliau merancangkan cara-cara untuk meningkatkan rakyat dan memulihkan semula Umno supaya mendapat sokongan rakyat," kata mantan Presiden Umno keempat itu.

Disoal pula tentang corak pentadbiran Najib dalam Umno sepanjang enam bulan ini, Dr Mahathir berkata "the time is very short but it’s done and he finds out why people go out (masa terlalu singkat tapi sudah berlalu dan dia mengenalpasti kenapa ada yang mengundur diri).

Memberi komen tentang ‘politik wang’ yang berlaku dalam Umno, Dr Mahathir berkata: "Saya tak berapa pasti tentang politik wang. Jika ada, saya harap mereka akan berhenti menggunakan wang (dalam politik)."

Dr Mahathir turut menjawab mengenai bahagian mana ucapan Najib yang sampai ke hatinya dari sudut sebagai salah seorang ahli Umno.

"Bagi saya penekanan tentang soal mendekatkan diri dengan rakyat, itu penting pasal saya dapati ramai daripada pemimpin Umno mengasingkan diri daripada rakyat dan berharapkan cara menggunakan kuasa untuk mendapatkan sokongan rakyat dan jelas ini tidak berjaya," katanya.

Beliau turut sempat memberi komen tentang ‘perjuangan belum selesai’ dalam Umno.

Sambil tersenyum beliau berkata; "Perjuangan politik ni tak pernah selesai. Masalah saya pun tak selesai, masalah orang lain pun tak selesailah.

"Ini adalah perkara yang berlanjutan dengan cabaran baru, keperluan baru dan persekitaran yang baru. Semua perkara perlu ambil kira..,"

Sebelum sidang media itu berakhir, sempat juga beliau ditanya pandangannya mengenai cadangan Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk menentukan perjuangan ke arah sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam parti.

Tentang itu beliau membalas; "Baiklah dari segi demokrasi. Soalnya, sama ada praktikal atau tidak..."

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan