Penyertaan lebih ramai pemimpin muda akan suntik perjuangan lebih bertenaga - Muhyiddin

Diterbitkan: Rabu, 14 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peremajaan parti menerusi penyertaan lebih ramai pemimpin muda dan wanita di semua peringkat akan menyuntik semangat perjuangan yang lebih bertenaga dan segar kerana Umno adalah sebuah parti dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

“Saya ingin mengajak seluruh warga Umno untuk merencana hala tuju perubahan dengan wahdatul fikr; menjiwai keikhlasan perjuangan dengan wahdatul qalb; mendekati rakyat dengan wahdatul amal; dan bergerak sederap selangkah untuk mencapai kegemilangan Umno dengan wahdatul hadaf.

“Sekiranya kita dapat menghayati dan melaksanakan keempat-empat rukun ini, kita pasti akan melahirkan generasi pemimpin Ulul Albab yang teguh imannya, tajam ilmunya dan berkat perjuangannya,” katanya ketika merasmikan Persidangan Serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita; Pemuda dan Puteri Umno, di PWTC malam Selasa.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut menyeru agar lebih ramai pemimpin wanita akan terlibat secara aktif dalam proses membuat keputusan dalam parti sama ada melalui Pergerakan Wanita dan Majlis Tertinggi.

Justeru, biarlah Umno menjadi contoh dan teladan sebagai sebuah institusi yang benar-benar serius dalam menghargai dan mengiktiraf sumbangan golongan wanita kepada pembangunan bangsa dan negara.

“Bagi sayap Pemuda dan Puteri pula mereka sentiasa berada di barisan hadapan perjuangan parti dan menjadi cerminan kepada citra politik masa depan.

“Generasi muda pada hari ini adalah generasi yang mengutamakan cetusan akal, bukan letusan emosi. Justeru, tidak ada jalan pintas bagi kita untuk meyantuni generasi muda melainkan kita dapat menyakinkan mereka dengan asas-asas perjuangan kita secara tuntas dan rasional.

Muhyiddin berkata, ahli-ahli parti juga perlu yakin dengan perubahan pucuk pimpinan, kesediaan untuk meminda perlembagaan dan semangat kental pimpinan baru ketiga-tiga sayapnya adalah satu petanda bahawa Umno sedang menuju ke ufuk kegemilangan semula.

“Marilah kita mempertautkan hati, memperkukuhkan tekad, memperteguhkan itizam untuk menyemarakkan terus api perjuangan parti. Marilah kita rapatkan saf, gerakkan kesatuan minda, pertautkan kesatuan hati, dan laksanakan kesatuan amal bagi mencapai kesatuan matlamat. Ayuh kita jayakan cita-cita wadah ini.

“Sesungguhnya masa depan agama, bangsa, dan negara tercinta ini berada dalam genggaman tangan kita sekalian. Maka laksanakanlah semua ini dengan satu tekad perubahan agar Umno tetap relevan sepanjang zaman. Marilah kita menggalas tuntutan perubahan ini,” katanya

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan