KPT perjelaskan pendirian Kerajaan berhubung status pelajar perubatan Malaysia di Univ Andalas

Diterbitkan: Rabu, 14 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Oleh AU YEONG HOW KUALA LUMPUR: Para pelajar Perubatan Malaysia di tahun satu, dua dan tiga Universiti Andalas, Padang, Sumatera Barat digalakkan supaya meneruskan pengajian mereka di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)Malaysia.

Manakala pelajar-pelajar tahun empat dan lima pula dinasihati supaya meneruskan pengajian mereka di Universiti Andalas seperti biasa.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berkata demikian turut menasihati mereka yang sedang dalam proses menjalani latihan klinikal juga digalakkan supaya meneruskan pengajian mereka di universiti tersebut.

"Keputusan adalah bergantung kepada penuntut sendiri dan kerajaan memberikan pilihan kepada mereka," katanya pada satu sidang akhbar khas di sini malam ini bagi menjelaskan keputusan kabinet berhubung status 321 pelajar perubatan Malaysia di Universitas Andalas.

Khaled terpaksa memperjelaskan pendirian kabinet berhubung perkara ini ekoran kebimbangan ibu-bapa pelajar-pelajar berkenaan berhubung masa depan anak-anak mereka di Universitas Andalas.

IPTS yang bersedia menerima penuntut Malaysia di Unand ialah International Medical University (IMU), Allianze College of Medical Sciences, University College Sedaya International (USCI), UniKL (Perak Royal College), Kolej Universiti Mahsa, Management and Science University (MSU), Melaka Manipal Medical College dan Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST).

Menurut Mohamed Khaled, pasukan kementerian yang dihantar ke Unand untuk memantau situasi di situ telah mengemukakan laporan penilaian teknikal dan pembelajaran fizikal.

Katanya, laporan tersebut mengenalpastikan Unand tidak kondusif untuk para penuntut menyambung pelajaran.

"Oleh itu, kita galakkan penuntut tahun pertama hingga tahun ketiga yang banyak menghabiskan masa dalam kuliah agar menyambung kursus mereka di IPTS.

"Para penuntut tahun keempat, kelima dan klinikal pula digalakkan meneruskan kursus mereka di Unand kerana mereka lebih banyak masuk ke hospital berbanding mengikuti kuliah.

"Rata-ratanya, para penuntut tahun keempat, kelima dan klinikal telah membayar kira-kira 95 peratus yuran pengajian mereka," jelas Mohamed Khaled.

Tambahnya, sekiranya para penuntut senior tersebut tidak ingin menyambung pelajaran di situ, yuran tidak dapat dikembalikan dan tiada pampasan diberikan.

Mohamed Khaled berkata, bilangan para penuntut Malaysia di Unand adalah seramai 16 penuntut untuk kursus asasi, tahun pertama (45), tahun kedua (44), tahun ketiga (65), tahun keempat (53), tahun kelima (55) dan klinikal (35).

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) bersedia membantu para penuntut terbabit yang ingin menyambung pelajaran di negara ini dari segi penempatan dan permohonan untuk mendapatkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Bagaimanapun, katanya, pinjaman PTPTN itu adalah maksimum sehingga RM150,000 bagi setiap penuntut.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, kementeriannya turut berbincang dengan 10 universiti di Indonesia yang diiktiraf oleh kerajaan untuk menyerap para penuntut Malaysia yang ingin menyambung pelajaran di situ.

Universiti-universiti tersebut ialah Airlangga Universiti (Surabaya), Universitas Padjadjaran (Bandung), Universitas Gajah Mada (Jogjakarta), Universitas Andalas (Padang), Universitas Sumatra Utara (Medan), Universitas Brawijaya, Malang (Jawa), Universitas Hasanuddin Sulawesi Selatan, Universitas Udayana Denpasar (Bali), Universitas Kristen Krida (Wacana) dan Universitas Trisakti.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan