Umno akan jaga kepentingan seluruh rakyat - Najib

Diterbitkan: Selasa, 13 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sudah sampai masanya Umno menjadi parti utama yang menjaga kebajikan dan kesejahteraan bukan sahaja orang Melayu dan bumiputera tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya.

Perdana Menteri berkata dalam mewakili kepentingan orang Melayu dan bumiputera, Umno hendaklah berubah mengikut keadaan semasa dengan memainkan peranan sebagai parti utama yang turut memelihara kepentingan kaum lain.

Ini selaras dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, yang diamalkan oleh pentadbiran sekarang yang semakin mendapat penerimaan positif daripada semua kaum, katanya dalam satu temubual dengan Bernama di pejabat beliau di sini hari ini.

"Walaupun Umno parti orang Melayu dan Bumiputera tetapi dalam masa yang sama biarlah Umno menjadi parti utama yang mempelopori kepentingan rakyat keseluruhannya, kata Presiden Umno itu ketika ditanya mengenai mesej dan imej yang ingin dibawa oleh Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2009 yang bermula malam ini.

Najib bagaimanapun menjelaskan bahawa usaha itu bukanlah bermakna Umno akan membuka pintunya kepada semua kaum buat masa ini.

"Terserah kepada para anggota untuk menentukannya di masa akan datang sekiranya mereka sudah bersedia," katanya.

Beliau berkata Umno perlu mengajukan sikap keterbukaan dalam pendekatannya bagi menjaga kepentingan anggotanya dan rakyat keseluruhannya dalam menjalani proses pembaharuan.

"Jangan maknanya kita menumpu kepada ahli-ahli kita sahaja walaupun ahli-ahli kita ini penting, tetapi kita mesti ingin mempunyai kemampuan dan kebijaksanaan untuk memperluaskan lagi apa yang boleh kita lakukan dari segi menyampaikan mesej kita dan juga mengisi segala harapan dan menyelesaikan masalah-masalah rakyat pada keseluruhannya," katanya.

Najib berkata sebab itulah beliau menekankan "rakyat didahulukan" kerana rakyat akan memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional sekiranya mereka berpuas hati.

Perdana Menteri berkata kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil Bagan Pinang pada Ahad lepas merupakan satu detik penting dalam proses untuk memulihkan semula semangat dan jiwa anggota Umno.

Bagaimanapun beliau mengingatkan mereka bahawa kemenangan tersebut tidak bererti segala-galanya sudah berada dalam keadaan begitu sempurna.

"Umno perlu berusaha secara lebih gigih dan terancang bagi mencapai kejayaan yang lebih besar lagi. Tanggungjawab dan tugas kita masih besar lagi yang perlu kita lakukan dengan komitmen dan dedikasi yang sepenuhnya.

"(Ketika itu) barulah kita boleh menganggap bahawa Umno sudah pun berada di atas landasan yang kukuh dan utuh," katanya.

Najib berkata Umno perlu melalui proses perubahan dan pembaharuan di samping mengekalkan tradisi termasuk nilainilai yang baik yang telah menjadi pegangannya selama ini.

"Di samping itu, Umno mesti juga menampilkan imej sebagai parti yang dinamik dan progresif," katanya.

Najib berkata beliau akan meneruskan mesej dan temanya sejak mengambil alih pucuk pimpinan parti dan kerajaan awal tahun ini dalam ucapan dasar sulungnya selaku Presiden Umno pada Khamis ini.

"Saya telah berikrar untuk membawa perubahan dan pembaharuan sama ada dari segi dasar kerajaan (dan) pendekatan yang kita lakukan termasuk juga metodologi yang kita terima pakai supaya lebih selaras dengan situasi dan keadaan semasa. Begitu juga parti," katanya.

Mengenai cadangan meminda perlembagaan parti itu, Najib berkata ia merupakan satu langkah yang begitu besar kesannya kerana inilah pertama kali dalam sejarah Umno, pindaan perlembagaan yang begini radikal dicadangkan untuk diterima oleh perhimpunan khas nanti.

Katanya pindaan sebelum ini lebih melibatkan prosedur tetapi kali ini ia begitu substantif kerana ia berkisar kepada proses pemilihan parti dan juga daripada segi kemasukan dalam Umno secara lebih terbuka.

"Saya juga berpendapat untuk mengubah manusia itu begitu sukar tetapi apa yang boleh kita lakukan ialah untuk menentukan satu sistem pemilihan yang lebih ketat lagi dan lebih telus lagi," katanya.

Cadangan pindaan dijangka memansuhkan sistem kuota bagi membolehkan seseorang pemimpin bertanding jawatan utama parti manakala lebih ramai anggota parti akan terlibat dalam membuat pemilihan untuk menjadikan sistem pemilihan lebih terbuka dan telus serta membanteras politik wang.

Najib berkata sekiranya seseorang hendak cuba mengeksploitasi sistem baru itu dengan membeli undi, risikonya adalah terlalu besar kerana bilangan perwakilan yang terlibat adalah seramai 150,000 orang.

"Adalah mustahil untuk menyembunyikan usaha membeli undi daripada 150,000 anggota perwakilan. Tentu sekali kalau dia cuba perbuatan itu mudah dikesan dan tindakan boleh diambil terhadap sesiapa yang menyalahgunakan hak di dalam parti kita," katanya.

Sebelum ini, pemilihan Presiden, Timbalan Presiden dan anggota Majlis Tertinggi parti ditentukan oleh 2,500 anggota parti yang menjadi perwakilan ke perhimpunan agung.

"Maknanya, apabila kita tukar sistem, maka sistem itu akan mengubah tindak tanduk ahli," katanya.

Najib berkata jawatankuasa disiplin parti dan etika parti masih kekal bagi mengawal politik wang. Melalui usaha itu, katanya, barulah Umno dapat menampilkan ia sebagai parti yang bermaruah, berintegriti dan bersih dan seterusnya mendapat sokongan rakyat.

Najib berkata langkah itu penting kerana rakyat terutamanya generasi muda dan terpelajar ingin melihat Umno sebagai parti yang berkualiti.

Mengenai sama ada terdapat bantahan akar umbi terhadap cadangan berhubung syarat minimum untuk seseorang bertanding jawatan utama parti, beliau berkata setakat ini tiada tetapi keputusan muktamad akan dibuat pada perhimpunan khas itu nanti.

Terdapat cadangan supaya seseorang pemimpin perlu berkhidmat sekurangkurangnya sebagai anggota Majlis Tertinggi untuk tempoh tertentu sebelum layak bertanding jawatan tertinggi parti.

Ditanya sama ada kedudukan beliau sendiri boleh tergugat dengan pindaan tersebut, Najib berkata: "Nasib saya di tangan ahli Umno dan rakyat. Saya serah kepada rakyat dan ahli Umno untuk menentukan.

"Apa yang saya pentingkan sekarang, saya nak buat kerja. Saya nak berkhidmat dengan sebaikbaiknya dengan komitmen sepenuhnya untuk kepentingan rakyat dan negara. Itu sahaja pada fikiran saya."

Mengenai kesimpulan yang boleh dibuatnya berhubung dengan kecenderungan anggota sekarang berbanding dengan semasa pilihan raya umum tahun lepas kerana ketika itu ada anggota Umno sendiri yang dikatakan mengundi pembangkang, beliau berkata: "Sudah ada perubahan di peringkat akar umbi terhadap Umno dan Barisan Nasional tetapi saya anggap ini sebagai satu proses yang penting sekarang, momentum ini kita teruskan.

"Kita tak boleh leka, orang kata sekalipun menang besar di Bagan Pinang, orang Putih kata "one swallow does not make a summer" (sehelai daun kering gugur tidak bermakna musim kemarau tiba). Jadi kita mesti buat apa yang harus kita lakukan berdasarkan kepada kerja yang tersusun rapi dan penuh komitmen."

Ditanya sama ada Umno mempunyai masa yang mencukupi untuk pemulihan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, Najib berkata Umno mesti sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang walaupun tempoh kerajaan atau Parlimen sekarang adalah sehingga Mac 2013.

Najib berkata isyarat utama yang perlu dihantar oleh perwakilan kepada anggota Umno, orang Melayu dan rakyat, ialah Umno merupakan parti yang kukuh.

Kedua, katanya, Umno sudah menerima mesej daripada pilihan raya dahulu dan ia menampilkan satu imej yang lebih dinamik, progresif serta mengelak daripada sebarang kecacatan yang boleh mengancam kedudukannya.

"Umno adalah parti yang sanggup berubah mengikut keadaan semasa," kata Najib. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan