Gagasan 1Malaysia bukan aneh - Najib

Diterbitkan: Ahad, 11 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata gagasan 1Malaysia bukan sesuatu yang aneh, tetapi kesinambungan daripada konsepkonsep memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat yang telah diperkenalkan pemimpin-pemimpin lampau.

Perdana Menteri berkata sebelum ini, para pemimpin negara memperkenalkan pelbagai konsep yang mengutamakan perpaduan nasional kerana ia merupakan "tiang utama" yang boleh menentukan Malaysia sebuah negara yang berjaya.

"Perkara ini (perpaduan nasional) telah ditekankan sejak zaman Datuk Onn Jaafar sebagai pengasas Umno, (Perdana Menteri pertama) Tunku Abdul Rahman, malah setiap Perdana Menteri sentiasa menekankan pentingnya membina negara bersatu padu.

"Jadi, apa yang saya buat hari ini (perkenal 1Malaysia) bukan aneh tetapi kesinambungan daripada pemimpin-pemimpin lampau," katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1Malaysia Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Majlis yang dihadiri lebih 5,000 penduduk sekitar Bandar Tun Razak, turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee.

Najib berkata sebagai sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama, sudah tentu konsep memperkukuhkan perpaduan tidak boleh dipandang ringan atau dilupakan kerana ia boleh menjadi masalah, sekali gus meruntuhkan hubungan antara kaum yang dibina selama ini.

"Pendahulupendahulu saya sebagai Perdana Menteri telah mengutamakan perpaduan nasional sebagai salah satu tiang seri yang boleh menentukan Malaysia menjadi negara yang berjaya atau kelangsungan negara menjadi persoalan," katanya.

Beliau percaya jika konsep 1Malaysia difahami dan dihayati, segala perbezaan yang wujud di kalangan rakyat tidak akan menjadi masalah malah dapat diselesaikan dengan baik.

"Apabila saya mengambil alih (jawatan sebagai Perdana Menteri), soal perpaduan perlu digilap dan diperkasakan. Justeru saya luahkan dengan memperkenalkan gagasan 1Malaysia," katanya.

Beliau berkata sejak gagasan 1Malaysia diperkenalkan, rakyat sudah mulai dapat menerima konsep berkenaan, yang tujuannya untuk membawa kejayaan kepada negara. Najib berkata ikatan perpaduan boleh menjadi rapuh jika tiada langkah penambahbaikan dalam usaha menjadikan Malaysia negara paling berjaya dalam mewujudkan hubungan di kalangan masyarakat berbilang kaum.

"Ini harapan saya kerana masa depan kita begitu besar. Kerjasama antara kaum akan menjadikan Malaysia lebih kuat dan berjaya," katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya konsep 1Malaysia tidak disalahertikan kerana kerajaan mempunyai pertimbangan yang adil kepada semua bangsa di negara ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan