FOMCA gesa dasar hijau dalam semakan Dasar Automotif Negara (NAP)

Diterbitkan: Ahad, 11 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa kerajaan memastikan semakan Dasar Automotif Negara (NAP) memberi perhatian kepada "pendekatan rakyat didahulukan" bagi melindungi pengguna.

Presiden Datuk N. Marimuthu berkata NAP sedia ada hanya menggariskan "cara lebih mudah bagi pengguna mendapatkan kereta" dalam senarai perbelanjaan dengan menaikkan subsidi minyak dan kemudahan pinjaman kereta.

Semakan itu juga perlu memasukkan Dasar Teknologi Hijau ke dalam NAP supaya kadar pengeluaran karbon dioksida (CO2) ke alam sekitar dikurangkan dengan mengurangkan jumlah kereta di jalan raya, katanya kepada Bernama semasa mengulas hasrat kerajaan untuk menyemak semula NAP.

Pengurangan itu katanya boleh dilaksanakan dengan melakukan penambahbaikan terhadap sistem pengangkutan awam dan menjadikannya lebih efisien dan mesra pengguna.

Katanya NAP juga perlu memberi perhatian daripada segi keefisienan kereta itu sendiri.

"Pengguna di Malaysia patut disediakan kereta yang efisien daripada segi penggunan minyak dan mesra alam sekitar dengan kemudahan bahan bakar alternatif yang dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan bakar dan pengeluaran karbon dioksida,' katanya.

Marimuthu berkata NAP juga patut menangani isu pengurusan trafik kerana lebih banyak kereta di jalan raya bermakna akan menimbulkan masalah tempat letak kereta, kesesakan lalu lintas dan pencemaran.

Beliau mencadangkan skim "End Life Vehicle" (ELV) disepadukan dalam NAP bagi menjadikan lebih mampu bagi pengguna untuk memiliki kereta sendiri.

Menurutnya, banyak negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat mempunyai skim seumpama itu yang membantu membangunkan industri baru berasaskan komponen kereta yang dikitar semula.

"Mengikut statistik, 90 peratus komponen kereta boleh dikitar semula yang dapat membantu mengurangkan pencemaran dan memelihara alam semulajadi," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan