Undi pos: PAS buat laporan polis terhadap SPR

Diterbitkan: Sabtu, 10 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: PAS terus menjadikan isu pengundian pos sebagai isu utama apabila parti itu memfailkan satu laporan polis terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana mendakwa suruhanjaya berkenaan telah melakukan beberapa kesalahan mengikut peraturan pilihan raya.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata laporan polis berkenaan dibuat oleh wakil calon PAS, Ramli Ismail awal pagi tadi.

"Satu laporan polis telah dibuat, dalam isu ini kita mahu membina satu pemikiran bahawa terlalu banyak isu yang dipertikaikan dalam undi pos," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menerusi laporan polis berkenaan, PAS menyenarai lima kesalahan yang mereka dakwa dilakukan oleh SPR berhubung isu pengundian pos.

Pertamanya PAS mendakwa daftar pemilih tentera tidak mempunyai nombor siri pengundi pos yang sebenar seperti yg dikeluarkan dalam daftar pemilih SPR selain daftar pemilih tentera tidak mempunyai nombor tentera yang penuh.

"Selain itu kita juga nyatakan bahawa daftar pemilih tentera tidak mempunyai nombor identiti isteri pengundi pos.

"Daftar pemilih tentera juga tidak mempunyai nombor lokaliti pengundi pos dan selain itu daftar pengundi tentera tidak mempunyai nombor kad pengenalan lama isteri pengundi pos," katanya.

Tambah Salahuddin lagi, penggunaan daftar pemilih yang berbeza juga menyukarkan polling agent daripada PAS untuk mengesahkan identiti pengundi pos semasa mereka datang mengundi.

"Polling agent kita tidak boleh berfungsi kerana mereka tak boleh menyemak daftar pemilih pengundi pos," katanya.

Proses pengundian pos melibatkan anggota keselamatan iaitu tentera dan polis telah bermula sejak Khamis lalu dan berakhir tengah hari ini.

Anggota tentera mengundi di Dewan Jeneral Tan Sri Sani, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Kem Si Rusa manakala anggota polis mengundi di Ibu Pejabat Polis Port Dickson.

Terdapat sejumlah 4,604 pengundi pos di kawasan DUN Bagan Pinang. Daripada jumlah itu 4,571 terdiri daripada anggota tentera, 31 anggota polis manakala dua pengundi pos dikategorikan sebagai pemilik tak hadir kerana bertugas di luar negara.

Mereka merupakan sebahagian daripada 13,664 pengundi dalam DUN Bagan Pinang, yang turut membabitkan 9,060 pengundi biasa.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan