Kesan cap jari dalam surat ugutan Khir tidak jelas

Diterbitkan: Sabtu, 10 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pemeriksaan forensik polis mendapati kesan cap jari yang ditemui pada surat ugutan bunuh yang dihantar kepada Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo bulan lepas, adalah tidak jelas bagi mengesan DNA suspek terbabit.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis akan melakukan siasatan terperinci dari sudut lain berikutan laporan analisis pakar forensik yang tidak menunjukkan sebarang bahan bukti kukuh ke atas surat berkenaan.

"Malangnya, unit forensik tidak dapat mengesan apaapa kesan cap jari (yang cukup terang) ataupun kesan DNA di atas surat itu. Apabila pihak forensik tidak dapat membantu kita dalam siasatan, maka kita kena ambil sedikit masa bagi (mengumpul bahan bukti) untuk kes ini. Kita tidak ada saksi yang melihat siapa sebenarnya yang menghantar surat tersebut," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Komuniti Seksyen U9 di sini.

Bekas Menteri Besar dan Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang itu membuat laporan polis selepas menerima surat ugutan bunuh yang ditulis tangan di dalam Bahasa Melayu 17 Sept lepas.

Sementara itu, Khalid menafikan dakwaan seorang ibu yang menuduh para pegawai polis melakukan penderaan terhadap anaknya yang ditahan dalam lokap sejak 20 Ogos lepas, ketika melakukan siasatan berhubung kes samun dan curi motosikal.

Beliau berkata selepas laporan dibuat wanita berkenaan, V. Suga Devi, 40, berhubung perkara berkenaan di Balai Polis Dang Wangi Isnin lalu, pihaknya terus membawa suspek, P. Vijendran, 17, untuk menjalani pemeriksaan di hospital.

"Bagaimanapun, setelah pemeriksaan dilakukan oleh doktor, keputusan laporan perubatan menunjukkan suspek tidak mengalami sebarang kecederaan seperti yang didakwa ibunya.

"Oleh itu, kita (polis) berasa sangat kesal dengan tuduhan melulu yang dilemparkan oleh ibu suspek sedangkan perkara yang didakwanya itu tidak berlaku," katanya.

Mengulas berhubung dakwaan ibu suspek yang mengatakan polis tidak mengemukakan sebarang waran tangkap ketika menahan anaknya barubaru ini, Khalid berkata bukan semua kesalahan yang dilakukan memerlukan waran tangkap. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan