Keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang esok dijangka sebelum 8 malam - SPR

Diterbitkan: Sabtu, 10 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang akan diadakan esok dijangka akan diketahui seawal pukul 8 malam.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjangkakan perkara tersebut jika proses pilihan raya yang akan bermula pukul 8 pagi esok berjalan lancar.

"Jika semua berjalan lancar dan tidak ada apa-apa gangguan, kita boleh tahu keputusan pukul 8 malam, dalam pukul 7.15 hingga 7.30 malam kita dah boleh tahu keputusan.

"Tapi elok selepas sembahyang Maghrib, kita tunggu calon dan penyokong kedua-dua parti datang dan kita umumkan pukul 8 malam," katanya ketika ditemui selepas melawat pusat Pengundian di SJK (T) dan SJK (C) di Ladang Sua Betong di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, pegawai pengurus pilihan raya tidak akan menunggu calon sekiranya lewat tiba di pusat perjumlahan undi di dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebaliknya akan terus mengumumkan keputusan pada waktu itu.

Pada pengundian esok, sebanyak 8 pusat dan 18 saluran mengundi dibuka bagi memudahkan 9,060 pengundi biasa di Bagan Pinang menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat.

Bagi 4,604 pengundi pos di kalangan anggota tentera dan polis, mereka telah mula mengundi Khamis lepas.

Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Barisan Nasional (BN) yang diwakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan PAS yang diwakili Pesuruhjaya negeri, Zulkefly Mohamad Omar.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal September lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

Selain itu Abdul Aziz juga menyeru supaya pengundi DUN Bagan Pinang supaya keluar mengundi awal bagi mengelakkan kesesakan hingga akan menyebabkan lewat ke tempat pengundian yang akan ditutup pada pukul 5 petang.

Tambah Abdul Aziz lagi, beliau menjangkakan sebanyak 80 peratus pengundi akan keluar mengundi esok.

"Dijangka 80 peratus pengundi berdaftar akan keluar mengundi, ini disebabkan faktor hari Ahad adalah hari cuti dan kempen yang dijalankan oleh kedua-dua parti yang bertanding sangat bagus," katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya tidak ada pihak yang cuba mengganggu kelancaran proses hari pengundian itu nanti.

"Jangan takut untuk keluar mengundi, keadaan selamat dan terkawal, polis sentiasa menjaga keselamatan orang ramai.

"SPR adalah tuan rumah dan pengundi adalah tetamu, jangan ada pihak yang cuba ganggu," katanya.

Dalam pada itu beliau turut memberitahu, sebanyak 1,807 pengundi pos tentera yang berada di kem telah mengundi dengan baki 70 lagi pengundi masih belum mengundi dengan peratusan keluar mengundi 97 peratus.

Baki 2,694 lagi pengundi pos berdaftar di kalangan anggota tentera berada di luar kem.

Daripada 31 pengundi pos polis, 27 telah mengundi, tiga lagi undi masih belum diterima manakala seorang lagi pengundi meninggal dunia.

Kesemua pengundi pos yang belum menunaikan tanggung jawab itu masih boleh mengundi dan borang undi perlu diserahkan sebelum pukul 5.00 petang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan