KD Seri Inderapura terbakar kali dua dan mungkin akan disemadikan

Diterbitkan: Sabtu, 10 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TELUK INTAN: KD Seri Inderapura, kapal pendarat terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terbakar semasa berlabuh di jeti Pangkalan TLDM Lumut semalam terbakar untuk kali kedua pada Jumaat.

Kebakaran itu telah berjaya dipadamkan semalam. Bagaimanapun, sehingga jam 5 petang tadi, kapal tersebut masih kelihatan terbakar.

Terdahulu, bercakap kepada para wartawan di Bagan Datoh dekat sini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebakaran kali kedua itu mungkin berpunca daripada bara api yang masih wujud di dalam kapal berkenaan.

"Sekarang, saya masih menunggu maklumat berkenaan situasi semasa yang dikemaskinikan," katanya selepas melancarkan lima platun Askar Wataniah di Perak Selatan.

Ahmad Zahid berkata, pihak kerajaan tidak dapat menentukan apa yang harus dilakukan terhadap kapal itu sehingga menerima laporan penuh mengenai insiden itu daripada lembaga penyiasatan dalam tempoh sebulan.

"Kita akan tunggu laporan itu sebelum menentukan apa yang harus dilakukan dengan kapal itu," katanya ketika ditanya sama ada kapal tersebut boleh diselamatkan dan diubahsuai menjadi muzium.

KD Sri Inderapura dibina pada 1970 dan pernah digunakan oleh Angkatan Tentera Laut Amerika Syarikat selepas ditauliahkan sebagai USS Spartanburg County.

Pada Disember, 1994, kapal itu diserahkan kepada tentera laut Malaysia.

Ia merupakan salah satu kapal tentera laut yang digunakan untuk mengiringi kapal-kapal dagang Malaysia bagi mengelakkan serangan lanun di Teluk Aden, Somalia tahun lalu.

Ahmad Zahid berkata kerosakan pada kapal tersebut Khamis lalu adalah jauh lebih besar berbanding kerosakan pada 2002 juga ekoran kebakaran.

"Ia menelan RM68 juta untuk TLDM membaiki kapal berkenaan selepas kebakaran pada tahun 2002 dan kos membaikpulihnya kini barangkali adalah jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini.

"Sekiranya ia boleh dibaiki pada kadar harga berpatutan, kita akan baikinya. Jika tidak, adalah lebih baik kita membeli kapal baru," katanya.

Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, pihak kerajaan berkemungkinan besar mempertimbangkan untuk membeli kapal pada kelas yang berlainan iaitu kapal pelbagai kegunaan.

Ini kerana katanya, tentera laut telah mempunyai kapal pendarat yang lain.

Sambil menyangkal spekulasi kebakaran Khamis lalu itu adalah satu sabotaj atau kecuaian, Ahmad Zahid berkata, beliau sangat yakin dan mempercayai keupayaan anggota-anggota tentera.

"Seperti orang tua yang mungkin sakit di sini dan situ, saya percaya kapal itu mungkin mengalami kerosakan-kerosakan teknikal tertentu.

"Bagaimanapun, ia tidak berpunca daripada sabotaj atau kecuaian kerana tentera laut membuat pemeriksaan seperti yang dijadualkan," kata Ahmad Zahid.

Beliau menambah pihak kerajaan mempertimbangkan untuk tidak menggunakan kapal-kapal yang telah berusia 25 tahun ke atas.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan