BN sedia kerjasama dengan semua pihak asalkan yakin 1Malaysia - Najib

Diterbitkan: Sabtu, 10 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MERIAH... Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak (tengah) disambut meriah oleh penyokong Parti Makkal Sakti Malaysia ketika beliau tiba di dewan utama Taman Pameran Agro Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor untuk melancarkan parti itu, pagi tadi. - foto The Star oleh AZHAR MAHFOF
MERIAH... Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak (tengah) disambut meriah oleh penyokong Parti Makkal Sakti Malaysia ketika beliau tiba di dewan utama Taman Pameran Agro Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor untuk melancarkan parti itu, pagi tadi. - foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

SERDANG: Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan menjalin kerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk orang perseorangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membangunkan negara selaras dengan gagasan 1Malaysia.

"BN akan bekerjasama dengan mana-mana kumpulan NGO, dengan mana-mana individu asalkan mereka percaya pada dasar kerajaan dan percaya pada gagasan 1Malaysia," kata Perdana Menteri ketika berucap melancarkan Parti Makkal Sakti Malaysia pagi tadi.

Perdana Menteri memulakan dan mengakhiri ucapannya dengan sebutan "Makkal" sebanyak tiga kali lalu disambut oleh kira-kira 5,000 penyokong parti itu, yang majoritinya memakai kemeja-T berwarna jingga dan berlogokan 1Malaysia, dengan laungan "Sakti".

Parti itu turut mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan yang pertama hari ini.

Parti Makkal Sakti Malaysia - parti terbaru masyarakat India negara ini didaftarkan Mei lalu oleh bekas pemimpin pertubuhan Hindraf yang telah diharamkan kerajaan Oktober 2008.

Sehubungan itu, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, kerajaan akan membela nasib rakyat semua kaum dengan memberikan sokongan dan bantuan yang sepatutnya diperlukan mereka.

Pada majlis pelancaran bersejarah ini, Presiden Umno itu menambah, kerajaan kepimpinan beliau mengambil sikap terbuka untuk membawa semua pihak sama ada mereka dalam BN atau pun di luar BN untuk berbincang, sekali gus membangunkan negara dan memelihara keharmonian.

Ini kali pertama seorang Perdana Menteri melancarkan parti politik baru luar BN.

Najib yang mengetuai negara sebagai Perdana Menteri sejak awal April lalu memberitahu, "yang penting ialah kita hendakkan keharmonian dalam negara."

Perdana Menteri menyempurnakan majlis pelancaran di Taman Pameran Agro Malaysia (MAEPS) di sini kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Dalam pada itu, ketika ditemui wartawan selepas itu, Najib menjelaskan, kerajaan kepimpinannya sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menangani masalah yang dilalui oleh masyarakat India negara ini.

Beliau mengakui bahawa masalah itu yang merangkumi pelbagai bidang seperti pendidikan, peluang pekerjaan dalam sektor awam dan ekuiti telah wujud begitu lama.

"Masalah-masalah ini adalah masalah tulin. Disebabkan masalah tulin, kita perlu menanganinya.

"Sebagai contoh masalah kemiskinan, tahap pencapaian rendah di sekolah, setinggan, peluang dalam perniagaan dan lain-lain lagi.

"Banyak masalah yang perlu kita atasi, perlu bekerjasama selain tahap kefahaman yang mendalam... saya menekankan konsep 1Malaysia.

"Sebab itu saya mahu bekerja dengan semua pihak sama ada mereka dalam BN atau pun berada di luar BN termasuk NGO yang menyokong apa yang kerajaan harus lakukan, yang menyokong konsep 1Malaysia," katanya.

Ketika ditanya sama ada BN akan mewujudkan sayap informal bagi parti-parti politik lebih kecil seperti Parti Makkal Sakti memainkan peranan dalam perikatan itu, Najib memberitahu, perkara itu diserahkan kepada Dewan Tertinggi BN untuk memutuskannya.

"Ini perkara berkaitan dengan kami, kami akan membincangkan nanti," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan